Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 1, 2016

SUNGAI GOLOK MELIMPAH KE BENDANG


Sungai Golok melimpah ke bendang


Tumpat - Kira-kira 30 petani mengalami kerugian apabila benih padi rosak ditenggelami air berikutan limpahan air dari Sungai Golok dalam kejadian fenomena air pasang minggu lalu.

Dakwa mereka yang sebahagiannya merupakan petani di bawah projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) mengalami kerugian lebih RM50,000 melibatkan keluasan bendang kira-kira 50 hektar.

Ketua Unit Bendang Telok Jering, Abdullah Mat Yusoff berkata, setiap petani dianggarkan mengalami kerugian ribuan ringgit.

“Benih padi baru ditabur dua minggu lepas, tidak sangka air dari sungai Golok melimpah menyebabkan benih padi semua rosak ditenggelami air,” katanya.

Menurutnya, petani buntu untuk mencari modal baru bagi membeli benih dan juga upah membajak dan perlukan racun bagi membunuh gondang mas.

“Bendang yang digenangi air termasuk Bendang Kajang Sebidang, Bendang Telok Jering, Bendang Kubang Sawa, Bendang Gelang dan Bendang Kajang Sebidang Hilir,” katanya.

Pesawah, Che Anuar Jusoh,48, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian yang banyak apabila kesemua benih padi yang ditabur rosak akibat limpahan air sungai Golok sejak lima hari lalu.

Katanya, sebanyak 60 kampit benih padi ditabur bagi tanaman padi musim ini dengan keluasan sawahnya 30 ekar tetapi musnah di peringkat awal lagi apabila sawah padi tenggelam.

“Saya sudah kehabisan modal kerana nak beli benih padi itu kena beli secara tunai, memang kami berharap sangat ada bantuan untuk kami memulakan semula tanaman padi ini,” katanya.

Menurutnya, melihat keadaan air di dalam bendang itu bukan sahaja benih rosak tetapi diancam gondang mas.

“Bendang padi kami diancam gondang mas pula, nak mulakan semula tanaman padi ini, perlu meracun semula dan itunya tentu perlukan modal tambahan pula,” katanya.

Bagi Fauzi Abdullah, petani di sini sentiasa berdepan dengan risiko sawah padi ditenggelami air limpahan sungai Golok saban tahun.

“Air masuk secara mendadak akibat air pasang besar minggu lepas, kami pula di sini baru seminggu menabur benih, habis hanyut benih padi kami,” katanya.


0 comments:

share2