Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 25, 2016

[JERANTUT] 'BIAR AKU TAK ADA ANAK'


 'Biar aku tak ada anak'


"Baik aku bunuh saja kau. Biar aku tak ada anak. Ada anak menyusahkan!" tengking seorang bapa sejurus selepas anaknya yang ditahan pasukan serbuan Ops Tapis Bersepadu memohon maaf atas kesilapannya dan merayu untuk diselamatkan, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu, tidak hanya ditengking, anak terbabit turut 'dihadiahkan' sepakan di bahagian belakang badannya kerana terlalu marah dengan tindakan anaknya yang dikatakan menagih di dalam bilik tidurnya bersama seorang rakan.

Lebih mengejutkan lagi dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Jengka 24 itu, remaja lelaki yang dianggarkan berusia 20an itu turut menipu pihak berkuasa dengan memberitahu bahawa dia tidak menyedari akan kewujudan rakannya yang menyorok di bawah katil bilik tidurnya.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut menemui alat-alat yang disyaki digunakan untuk menagih.

Turut dirampas satu bekas berisi air ketum yang disimpan di dalam peti ais di bahagian dapur rumah tersebut.

Selain itu, dalam satu serbuan di sebuah rumah yang lain pula, penghuni rumah enggan memberikan kerjasama untuk membuka pintu kepada pihak berkuasa sehingga memaksa pihak berkuasa memanjat bahagian dinding dapur.

Dalam serbuan di rumah terbabit, seorang lelaki ditahan setelah didapati bersembunyi di satu sudut di salah sebuah bilik rumah terbabit.

Turut ditemui sekitar enam batang pokok ketum yang dikatakan telah ditanam dibahagian belakang rumah te‎rsebut selain dua bilah senjata tajam dipercayai sebilah kerambit dan sebilah parang.

Dalam serbuan yang disertai oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu turut berjaya menangkap seorang pembekal air ketum di tanah rancangan terbabit.


0 comments:

share2