Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 27, 2016

[KUANTAN] IBU TUNGGAL MOHON TAPAK NIAGA


Ibu tunggal mohon tapak niaga


Seorang ibu tunggal lapan anak merayu diberikan tapak niaga di Cenderawasih di sini untuk menjual buah-buahan bagi menyara hidup mereka sekeluarga.

Azalina Othman, 42, memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas suaminya, Syed Mohd Ridzuan Syed Abdul Wahab, 44, meninggal dunia akibat sakit jantung, dua hari sebelum Ramadan lalu.

Katanya, enam anaknya masih bersekolah dengan dua menuntut di sekolah menengah dan seorang mendapat bantuan pendidikan Yayasan Pahang (YP), RM600 setahun.

Menurutnya, dua daripada empat anak di sekolah rendah mendapat bantuan sama, RM300 setahun.

“Dua lagi anak berusia dua tahun dengan yang bongsu enam bulan. Perbelanjaan keluarga kini bergantung kepada bantuan bulanan daripada pusat zakat sebanyak RM500 sebulan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM450.

“Selepas suami meninggal, saya pindah dari Permatang Badak ke Cenderawasih dan hanya dapat cari rumah sewa paling murah RM650 sebulan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Azalina berkata, dia amat memerlukan tapak niaga buah-buahan di kawasan Cenderawasih kerana bersesuaian dengan pergerakannya yang terbatas dengan dua anak masih kecil.

Menurutnya, tapak itu dapat membantu dia memulakan langkah baharu bagi menambah pendapatan keluarga memandangkan arwah suami dulu menjual petai dan abang ipar pula seorang peniaga buah.

Menurutnya, dua anak lelakinya terpaksa menjual dadih di kaki lima sebuah pasar raya di bandar Kuantan pada setiap Jumaat hingga Ahad bagi menampung perbelanjaan mereka.

“Saya tidak mahu ganggu hari sekolah mereka dan bersyukur apabila anak-anak sendiri ingin membantu mencari pendapatan tambahan,” katanya.


0 comments:

share2