Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 26, 2016

PROGRAM KOMPUTER RIBA BAKAL LONJAK KUALITI PENDIDIKAN


Program Komputer Riba bakal lonjak kualiti pendidikan


Putrajaya - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak‎ berharap projek rintis Program Komputer Riba untuk pelajar tingkatan lima di Sarawak bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat melonjakkan kualiti dan pencapaian pendidikan negeri itu.

Beliau berkata program rintis itu akan melibatkan 33,000 pelajar di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman Sarawak dengan proses penyerahan komputer riba itu dijangka selesai menjelang September ini.

"Semasa mengadakan tinjauan mesra saya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ladong, Sarawak pada April lalu, saya melahirkan hasrat supaya proses pembelajaran di Sarawak ditingkatkan dengan memberi kemudahan seperti komputer riba untuk semua pelajar (tingkatan lima) di Sarawak.

"Dengan tertunainya janji ini, maka saya yakin dan percaya pencapaian pelajar di Sarawak akan lebih memberangsangkan pada masa akan datang.

"Ini menunjukkan bahawa kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk terus membangunkan Sarawak terutama sekali dalam pembangunan modal insan akan membuahkan hasil seperti yang diharapkan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan komputer riba kepada lima wakil pelajar di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad.


0 comments:

share2