Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 20, 2016

KAKITANGAN JPN DIDAKWA GODAM SISTEM KERAJAAN


Kakitangan JPN didakwa godam sistem kerajaan


Melaka Tengah - Seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan dan menggodam sistem maklumat jabatan berkenaan, tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Zakri Raman, 30, yang juga Pembantu Pendaftaran Gred KP17 bagaimanapun mengaku tidak bersalah 12 pertuduhan didakwa ke atasnya yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Berdasarkan pertuduhan satu hingga enam, Ahmad Zakri didakwa menerima suapan berjumlah RM24,000 daripada dua individu bagi pihak Mohd Daud Ladja, Jamil Ismail, Noratsa Appai, Indah Tining Kiusang, Adnan Rajak dan Joenel Isnihal.

Kesalahan dibawah Seksyen 161 Kanun Keseksaan yang meperuntukkan hukuman penjara maksima tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali itu didakwa di lakukannya di kawasan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Hang Tuah pada 11 April dan 13 Jun tahun lalu.

Bagi pertuduhan tujuh hingga 12, tertuduh pula didakwa menggodam Sistem Informasi Rekod Penduduk Negara (Siren) dengan mengubah status kewarganegara enam individu.

Kesalahan yang membabitkan kata laluan dua kakitangan jabatan berkenaan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Kewarganegaraan, Perkahwinan dan Penceraian JPN Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh antara 18 Mac hingga 10 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 59(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksima tujuh tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Abdul Hamid yang mengendalikan kes meminta mahkamah memberikan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan sebelum peguam bela Haslinda Abu Bakar merayu wang jaminan itu dikurangkan.

"Tertuduh mempunyai dua orang anak masih kecil yang perlu ditanggung selain isteri, ibu bapa dan mentua. Anaknya berusia 1 tahun 8 bulan mengidap sawan sementara ibunya kanser hidung," katanya.

Mohd Firdaus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan selain turut menetapkan 12 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.


0 comments:

share2