Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 25, 2016

PAHANG DALAM MEMENANGI PRU14




Cita-Cita seorang Presiden Parti tidak lain tidak bukan memenangi sesuatu Pilihanraya yang disertai bagi memastikan parti yang diketuai berupaya mentadbir dan menguasai negara. Namun cita-cita ini tidak terlaksana di Negara Malaysia ini kecuali dengan kerjasama dan sokongan dari Parti-Parti Komponen yang diketuai oleh Pengerusi Perhubungan yang dilantik sendiri oleh Presiden Parti di dalam Majlis Kerja Tertinggi Parti itu. Apabila beliau telah melantik Pengerusi Perhubungan bererti ia telah mempunyai keyakinan keupayaan dan kebolehpercayaan bahawa wakilnya di setiap negeri mampu membawa aspirasi parti. Hal ini pula tidak dapat didakwa dengan omong kosong atau momokan pujuk rayu serta janji manis yang tidak dibuktikan dengan gerak kerja yang selari dengan realiti semasa. 

Jika kita berpandu kepada siapa yang bijak menyejukkan roma tengkuk sahaja. Tidak mustahil kita bakal menempah kain sekayu untuk dibuat baju tanpa diukur mengikut susuk tubuh empunya diri. Akhirnya sudah tentu kita gagal menyediakan sepasang baju yang cantik, selesa dan jauh sekali untuk dipakai. Kalaupun kita pakai juga orang nampak betapa lemahnya kita serta jelaslah kita tidak mampu menyediakan pakaian sendiri. Kerana mungkin baju itu singkat, ketat ataupun terlalu besar. Ertinya kita gagal. 

Di Pahang Presiden Parti mampu menarik nafas lega apabila Tokoh yang mewakili beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan bukan sahaja tidak pernah menconteng arang di muka beliau. Bahkan selaku wakil beliau yang mengetuai Barisan Parti berjaya menunjukkan prestasi yang menggembirakan Presiden Parti selaku ketua. Ia juga mampu berlenggang tangan penuh yakin menyerah amanah kepada Kepimpinannya itu. 

Hal ini bukan menempelak dengan lidah tak bertulang. Jauh sekali mengetuk tong kosong. Tetapi ia terbukti semenjak PRU 11 hingga PRU 13 beliau berupaya menyediakan hadiah kemenangan kepada Presiden Parti danjuga kepada Parti. Ia juga berjaya menonjolkan kejayaan dalam menerajui 5 PRK. Sanggang April 2000 berhadapan sengit dengan Tsunami isu Anwar Ibrahim disulami pula oleh PAS yang sangat yakin dengan kekuatan mereka. Namun Adnan Yaakob selaku Tokoh yang mengetuai Jentera Negeri memacu dengan penuh rapi dan pendekatan yang sangat digemari oleh Rakyat Pahang selaku Pengundi. Kempen Gerak Mesra Rakyat melalui jentera parti samada Pemuda mahupun Wanita G10 diperkasakan pada ketika itu dan Kepimpinan Parti digalakan berkempen dengan cara mesra rakyat. 

Kemudian disusuli pula 2002 sekali lagi keupayaan beliau teruji di Ketari Bentong. Walaupun dengan faktor calon BN masa itu seadanya. Ditambah lagi dengan DAP bersiap rapi dan bersungguh-sungguh. Namun usaha beliau tetap diteruskan. Adnan sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi BN dengan kejayaan memihak kepada Parti Kerajaan. 
Hal ini masih tidak terhenti begitu sahaja, bahkan sekali lagi pada Januari 2007 Batu Talam Raub menyaksikan satu lagi perlawanan sengit diantara jentera Adnan dan Parti Pembangkang PAS. Pelbagai isu telah dibangkitkan oleh PAS pada ketika itu. Selain hudud, pengundi dimomokkan juga dengan isu perumahan, pembangunan dan isu FELDA. Namun semua itu berjaya ditangkis mudah oleh YAB Dato’ Sri DiRaja Hj Adnan. Apabila calon BN pada ketika itu Saudara Aziz Kiram berjaya memenangi kerusi PRK. 

Hal ini disusuli pula dengan ujian seterusnya pada 2011 Kerdau telah menyaksikan sekali lagi keupayaan Dato’ Sri DiRaja Hj Adnan, apabila kerusi di DUN ini kosong akibat YB Dato’ Abang Zahar telah kembali kerahmatullah. PRK ini juga telah membuahkan hasil yang sangat baik kepada prestasi beliau. 

Terbaru ini pula pada 2015 apabila Allahyarham Tan Sri Dato’ Sri Jamaluddin Jarjis ditimpa musibah yang mengakibatkan beliau menemui Allah Penciptanya. Maka kerusi Parlimen Rompin sekali lagi perlu diganti melalui PRK. Walaupun beliau terpaksa mengemudi PRK dalam situasi sekali lagi negara ditimpa Tsunami Politik semasa. Di mana baru sahaja PRU 13 telah melabuhkan tirai meninggalkan kesan sejarah pilu kepada sejarah parti Barisan Nasional apabila banyak kerusi telah berjaya dirampas oleh pembangkang akibat tertubuhnya Barisan Alternatif ataupun terkini dinamakan Pakatan Rakyat. Keupayaan PKR memang telah nampak mengugat prestasi beberapa kerusi DUN dan Parlimen. Namun demikian Adnan sekali lagi berjaya menangkis serangan bertubi pembangkang walaupun beliau hanya mengambil pendekatan Mesra Rakyat. Bukan pendekatan samada kononnya berfikir di luar kotak atau jauh sekali apa yang dinamakan politik baru. Mudah tapi berkesan.

Beberapa rentetan sejarah PRK Pilihan Raya kecil ini sudah memadai untuk YAB Presiden Parti menarik nafas lega dan berkeyakinan tinggi kepada tokoh yang beliau sendiri lantik bagi meneruskan perjuangan beliau. Ini juga sudah memadai menjadi bukti bahawa Presiden Parti sebenarnya telah membuat pilihan tepat dan meneruskan tradisi yang betul. 

Walaubagaimanapun hal ini dapat diperkukuhkan lagi jika dirujuk kepada prestasi Pilihanraya Umum di Pahang. Apakah hasilnya yang telah Adnan pulangkan kepada Parti Barisan Nasional. Ini juga wajar kita ambil nilai bagi kita mendasari sesuatu keputusan. Supaya apabila semboyan perang nanti telah ditiup kita tetap mempunyai kemudi atau nahkoda yang memiliki keupayaan sebenarnya.

Pilihanraya Umum Ke 10 1999 seumpamanya, ketika itu Pembangkang berjaya membina persepakatan sehingga tertubuhnya BA Barisan Alternatif. Ada pula pada ketika itu gerakan anti Mahathir selaku Presiden Parti Kerajaan. Tambahan lagi berlakunya serangan yang sengit apabila gelombang pembangkang menyemarak kuat di Pantai Timur. Mereka berjaya menyerang bermula di Kelantan yang telah mereka kuasai, disusuli dengan Terengganu dan pada ketika itu mereka berusaha sedaya mungkin untuk mengambil Pahang. Mereka berusaha meletakkan calon-calon yang berupaya menandingi kekuatan calon BN. Namun walaupun ini ujian pertama Adnan selaku salah seorang kepimpinan parti, beliau berjaya membantu partinya untuk terus memerintah. Kerusi Parlimen dapat dipertahankan dan DUN juga masih memberi ruang kepada Kerajaan BN untuk menabur bakti kepada Negeri tercinta. Walaupun hampir 6 kerusi disambar oleh PAS pada ketika itu, satu PKR dan DAP. Namun ia masih mampu bertahan walaupun Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan pembangkang. Ketika itu. seandainya Pahang turut kecundang sudah pasti pemandangan politik pantai timur berubah langsung. 

Demikian juga di PRU ke 11 pada tahun 2004. Beliau selaku Pengerusi Perhubungan berjaya mematah keupayaan Pembangkang. Apabila keseluruhan Kerusi DUN dikuasai Pembangkang mampu dirampas kembali oleh beliau. Kecuali Triang kerusi yang telah dikuasai DAP tradisinya. Tamparan hebat yang diterima oleh Pembangkang pada ketika itu sudah tentu sedikit sebanyak kesan dari pengaruh keupayaan beliau selaku Pengerusi Perhubungan. Selain dari kejayaan mempertahankan kerusi yang sedia ada samada di peringkat Parlimen mahupun DUN. 

Pada PRU 12 Tahun 2008 sekali lagi pembangkang berkerja keras untuk meneruskan momentum 
merampas pantai timur dari Kerajaan. Disamping BA Barisan Altelnatif masih aktif menyerang Kerajaan. Namun beliau selaku Pengerusi Perhubungan Parti BN di Pahang berjaya menepis serangan Pembangkang. Walaupun Kerusi Beserah dan Semantan jatuh kepada PAS tetapi kerajaan dapat diteruskan. Walaupun Kedah, Perak dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang. Beliau juga masih mampu meyumbang kerusi-kerusi Parlimen untuk BN meneruskan penubuhan Kerajaan seperti biasa. Sumbangan ini juga sangat bermakna kepada parti yang terus ditusuk dengan serangan pembangkang yang tak pernah putus asa. 

Kepimpinan beliau terus teruji dengan pelbagai serangan yang sarat. Terutama apabila menghadapi PRU ke 13 pada 2013. Ini lebih merunsingkan apabila pembangkang telah berjaya menperkasakan barisan mereka dengan jenama baru iaitu Pakatan Rakyat. Isu demi isu dibangkitkan. DAP pula berjaya mengeksploitasi situasi. Parti keadilan pula terdesak dan memaksa mereka beganding bahu demi mempertahankan maruah individu. PAS pula memaksa diri menerima rundingan ini atas dasar asal bukan UMNO dan Tahaluf Siasi kononnya. Kekangan ini telah membuat Malaysia menerima Tsunami politik sekali lagi. Serangan pembangkang yang bertali arus sukar untuk sesetengah negeri mengatasinya. Barisan Nasional pula menghadapi situasi perpindahan Tokoh kepimpinan dari Pak Lah kepada Najib. Tekanan dari Tun Mahathir terhadap kepimpinan Pak Lah juga turut mempengaruhi keupayaan pembangkang megambil kesempatan untuk bangkit. Peluang ini diambil sepenuhnya oleh mereka. DAP pula berjaya menanamkan kebencian pengundi cina kepada parti Kerajaan. Hal ini telah menghimpit keupayaan Parti Kerajaan untuk mempertahankan Kuasa yang ada. Akhirnya keputusan Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan terus kecundang. Namun dikala Negara ditimpa serangan yang sangat sengit ini. YAB Dato’ Sri DiRaja masih berupaya mempertahankan Kerusi-Kerusi DUN Pahang dan menghadiahkan beberapa kerusi Parlimen yang disasarkan oleh mereka. Walaupun beberapa kerusi Parlimen Negeri lain dirampas mudah oleh pembangkang. 

Sejarah ini menjadi bukti prestasi seseorang dalam memastikan parti kita terus menang atau kalah di dalam Pilihanraya. 

Keupayaan inilah yang menjadi kayu pengukur Presiden Parti samada masih memerlukan khidmat bakti mereka itu. 

Sebaliknya jika mereka gagal memberi keupayaan kepada parti kenapa perlu kita memikul biawak hidup. Bukan sahaja ia menjadi bebanan tetapi ia akan menyusah dan menyakitkan kita. 
Inilah namanya pengorbanan. Kadangkala kita perlu sabar untuk menerima pandangan rakan yang kadangkala merosak keupayaan kita dan kekuatan parti. 

PRU 14 sudah hampir. Pahang bukan sahaja perlu menang dan terus menyumbangkan kerusi parlimen kepada Kerajaan Pusat. Pahang juga perlu pastikan pembangkang tidak mampu mengorak langkah lagi walaupun selangkah. Tetapi seandainya kita yang tersilap langkah tidak mustahil padah akan menimpa kita. Tahniah Presiden Parti YAB Dato’ Sri Najib yang sentiasa istiqamah untuk memastikan kemenangan parti. Tahniah juga di atas keupayaan beliau meyakini uji kaji yang telah beliau lakukan sendiri kepada pembantu dan pendokong beliau Long Nan untuk memastikan kelangsungan Barisan Nasional. 

Semoga parti kita terus mampu berkhidmat dengan baik. Sememangnya pendekatan inilah yang masih diperlukan pengundi kita. 

Anak sekolah dicakna sempurna semenjak di Sekolah Rendah hingga pengajiaan tinggi. Sehingga Yayasan Pahang berbelanja berjuta-juta RM setahun demi menampung pendidikan mereka.

Institusi Agama diperkasakan. Pegawai-Pegawai Agama diberi kelayakan untuk memiliki kenderaan. Intitusi Pendakwaan diperkasa bersama Jabatan Mahkamah Syariah. Bantuan Guru-Guru Agama diperkenalkan melalui agensi-agensi yang sedia ada. 

Terbinanya KUIPSAS tersergam megah mercu tanda ke arah pendidikan Islam yang lebih cemerlang. 

Maahad Tahfiz yang dibangunkan menjadi teras pendidikan Smart Tahfiz yang teratur serta melahirkan tokoh-tokoh yang berkeupayaan. Telahpun terbukti.

Orang susah diambil tau. Sehingga JKM diperkasa bagi memastikan bantuan disampai dengan jumlah yang lebih lumayan. Kerajaan sendiri memperkenalkan Dana Khas untuk mereka. 

Kemudahan infra dibangunkan sebaiknya. Samada pembekalan air, elektrik dan jalanraya. 

Perkara ini semua mungkin kita tidak sedari. Kerana ia berlalu seharian dalam kehidupan kita. Tetapi bayangkanlah dengan penambahan penduduk yang semakin padat dari setahun ke setahun. Disusuli pula dengan permintaan yang sangat tinggi. Sudah tentu memerlukan kebijaksanaan dalam pentadbiran. Merungkai segala permintaan dengan penuh tanggungjawab serta kesungguhan yang berteraskan keikhlasan.

PR1MA Pahang telahpun mulai tersergam indah diseluruh daerah di Pahang bagi memenuhi keperluan Rakyat Pahang. Rumah Makmur Pahang pula diperkenalkan bertujuan meringankan beban golongan berpendapat rendah memiliki rumah sendiri. 

Usaha-usaha murni masih belum cukup untuk memenuhi keperluan Rakyat. Ia perlu diteruskan. Dan inilah yang mampu menawan hati mereka untuk terus memastikan mereka bersama Kerajaan Barisan Nasional membela rakyat. 

Kata-kata ini sama sekali bukan mengajar jauh sekali menempelak. Tetapi ia sebuah muhasabah yang sama-sama kita kena fikir bagi Pahang memenanggi PRU 14.


0 comments:

share2