Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 26, 2016

SAMPAH CEMARI AIR TERJUN JERANGKANG


Sampah cemari Air Terjun Jerangkang


Air Terjun Jerangkang, di sini dicemari sampah-sarap apabila terdapat segelintir pengunjung membuang dan membiarkan sisa makanan berhampiran aliran sungai.

Tinjauan di kawasan rekreasi itu mendapati kebanyakan sampah ditinggalkan di tapak perkhemahan selain serpihan bekas makanan seperti polistirena dan plastik terapung di sungai.

Lampin pakai buang turut diletakkan di celah pokok walaupun tempat membuang sampah disediakan di kawasan berkenaan.

Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Abdul Razak Ahmad, 33, berkata, terdapat segelintir pengunjung mendirikan khemah di dalam pondok rehat di pintu masuk ke Hutan Lipur Jerangkang yang disediakan sebagai tempat berteduh dan berehat.

“Di air terjun sebelah atas, banyak sampah dari sisa makanan pengunjung yang bermalam dibiarkan berselerak.

“Sepatutnya sampah yang dibawa masuk perlu dibawa keluar oleh pengunjung itu sendiri, dan bukan ditinggalkan.

“Sikap sebegini yang mencemarkan imej sesuatu tempat rekreasi apabila mereka hanya mementingkan diri sendiri,” katanya.

Pengunjung dari Negeri Sembilan, Mohammad Azri Jais, 24, pula berkata, Air Terjun Jerangkang antara lokasi yang tidak dikenakan sebarang bayaran masuk tetapi menyediakan kemudahan seperti pondok rehat dan tandas.

“Dua tahun lepas, saya datang semuanya bersih tetapi sekarang sudah ada tapak perkhemahan yang diteroka sendiri dan mempunyai longgokan sisa sampah,” katanya.


0 comments:

share2