Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 21, 2016

BR1M DINAIKKAN BAGI SEMUA KATEGORI TAHUN DEPAN


br1m


Kuala Lumpur - "Dedak bukan, umpan pun bukan, BR1M yang ikhlas satu pemberian. Keperluan rakyat kita dahulukan. Jumlah BR1M, kita tambah-tambahkan."

Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan kenaikan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Rakyat, Parlimen, hari ini.

Najib berkata, pertambahan kadar BR1M akan meliputi program e-Kasih daripada RM1,050 kepada RM1,200.

"Bagi isi rumah berpendapatan bawah RM3,000, pemberian BR1M ditingkatkan daripada RM1,000 kepada RM1,200. Isi rumah berpendapatan RM3001 hingga RM4,000 pula dinaikkan daripada RM800 kepada RM900.

"Dan bagi individu bujang berpendapatan bawah RM2,000 pula, pemberian BR1M akan ditingkatkan daripada RM400 kepada RM450," katanya.

Menurutnya lagi, skim bantuan ini mendapat sambutan dan maklum balas positif tanpa gagal daripada penerima setiap tahun.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata tidak sekadar itu, Skim Khairat Kematian akan diteruskan dengan pampasan RM1,000 kepada waris penerima BR1M bagi kategori isi rumah dan warga emas.

Perdana menteri berkata keseluruhan program BR1M ini akan memanfaatkan seramai tujuh juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion.

BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Pada 2013, BR1M 2.0 diteruskan dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Pada 2014 BR1M 3.0, bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, bantuan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

BR1M 3.0 diperluas kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450. 

Dalam Bajet 2015, kerajaan menaikkan kadar BR1M 4.0 kepada RM950 daripada RM650 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dibayar secara tiga kali ansuran iaitu pada Januari, Mei dan September.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, kerajaan meningkatkan kadar BR1M daripada RM450 kepada RM750 manakala bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar itu dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

Dalam Bajet 2016, BR1M untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1,000.

Pemberian BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800 manakala bagi individu bujang yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar bantuan ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400.


0 comments:

share2