Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 7, 2016

[TEMERLOH] KERAJAAN KOMITED PERANGI RASUAH




Kerajaan Negeri sekali lagi menyatakan komitmennya untuk terus menyokong langkah-langkah yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ambil bagi membanteras gejala rasuah.

Ini dinyatakan sendiri oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan luar teks 19-minit ketika merasmikan Kempen Kesedaran Pencegahan Rasuah Zon Timur dan sekali diulangi pada persidangan media kemudian petang Selasa, 6 Disember di sini.

Lanjutan itu, beliau menegaskan betapa; “Usaha SPRM ini mesti diteruskan dan mesti diberikan ruang , diberikan sebanyak-banyak ruang untuk mereka bertindak. Pastikan rasuah ini sekurang-kurangnya dalam kawalan”.

Sambil memuji program yang SPRM anjurkan petang ini katanya, langkah-langkah seperti mengadakan kempen pencegahan rasuah mesti dilakukan secara berterusan yang jika tidak ia mungkin dilupakan.

Sedangkan menurutnya, gejala rasuah boleh mendatangkan kesan buruk kepada negara jika ia tidak dibendung dengan sewajarnya.

“Maka, usaha berterusan SPRM yang mahu menghapuskan rasuah dengan mengadakan kempen seperti ini sangat dihargai dan ianya perlu diteruskan agar masyarakat sedar dengan kewujudan SPRM.

“Dengan adanya kempen berkala - kempen kesedaran dengan mengedarkan pamplet, dan juga buku panduan akan membuatkan rakyat sedar bahawa SPRM sentiasa ada bersama dengan mereka.

“Jadi, untuk orang yang selalu melakukan rasuah, dia akan ingat ‘Ada rupanya SPRM, sentiasa berada di mana-mana’”.

Beliau seterusnya mengingatkan betapa sesebuah negara boleh menjadi sebuah negara yang gagal atau ‘failed nation’ sekiranya gejala rasuah berleluasa di negara berkenaan sepertimana beberapa negara luar.

“Kita hendak jangan sampai kita jadi parah, jangan sampai jadi barah,” tegasnya pada persidangan media yang turut disertai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamsun Baharin Mohd Jamil.

0 comments:

share2