Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 23, 2017

[KUANTAN] KDYTM TENGKU PUAN PAHANG PRIHATIN NASIB 39 MANGSA BANJIR





Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang berkenan mencemar Duli berangkat ke Pusat Pemindahan Banjir SK Sungai Karang dan menyampaikan kurniaan kepada mangsa-mangsa banjir, disini petang semalam. Keberangkatan tiba Tengku Puan Pahang disambut oleh Pengerusi Bencana Daerah Kuantan, Encik Zaliza bin Zulkifli barisan Jawatankuasanya.

Di Pusat Perpindahan Banjir SK Sungai Karang menempatkan 39 orang mangsa banjir daripada 9 keluarga. Kesemua mangsa terlibat ialah dari dua kampung, iaitu lima keluarga dari Kampung Sungai Karang Pantai dan empat keluarga dari Kampung Sungai Karang Darat. Tengku Puan Pahang yang mewakili paduka suami baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah turut bertitah.

“Pertama saya nak sampaikan salam takzim daripada suami saya, Pemangku Raja Pahang yang tidak dapat hadir bersama-sama kerana telah berangkat keluar negara pagi tadi” titah baginda. Baginda seterusnya menasihati mangsa-mangsa banjir supaya mengutamakan keselamatan keluarga dan kebersihan ketika berhadapan musim banjir ini.

Tengku Puan Pahang turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Bencana Daerah Kuantan, Encik Zaliza Zulkifli, serta beberapa agensi yang bertugas seperti pasukan Bomba, PDRM, RELA, ATM, JKM, Kesihatan serta JKKK sentiasa bersiap sedia bagi memantau keadaan banjir dari semasa ke semasa. Seterusnya, Baginda mengampuni berkenan menyempurnakan pengurnian sumbangan peribadi Pemangku Raja menerusi Tabung Kebajikan Yayasan Istana Abdulaziz dan sumbangan wang zakat dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada sembilan ketua keluarga mangsa banjir tersebut berjumlah RM1,800.

Turut menerima sumbangan daripada Tengku Puan Pahang ialah kanak-kanak yang terdiri daripada anak-anak mangsa. Terdahulu, Zaliza ketika persembahan ucapan taklimat, memaklumkan banjir yang melanda kedua-dua kampung tersebut diklasifikasi sebagai banjir kilat ekoran hujan lebat turun sejak kelmarin.

“Semua mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang ini, setelah Jawatakuasa Bencana mengesahkan rumah mangsa telah pulih sepenuhnya serta keadaan cuaca yang bertambah baik”, katanya ketika persembahan taklimat ringkas kepada Tengku Puan Pahang.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz bin Mohd Salleh, Setiausaha MUIP, yang Hormat Dato’ Ahmad Hairi dan Setiausaha Sulit Khas Kepada KDYMM Sultan Pahang, Tuan Haji Nor Hashim bin Abdul Aziz. Turut memuliakan keberangkatan Tengku Puan Pahang, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota Yang Hormat Dato’ Hj Mustaffar Kamal bin Ab Hamid, Ketua Pemuda Umno Bandar Indera Mahkota, Muhammad Faiz bin Hashim dan pemimpin-pemimpin tempatan.


0 comments:

share2