Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 28, 2017

[KUANTAN] RUANG KERJA UNTUK OKU PENGLIHATAN


Ruang kerja untuk OKU penglihatan


OKU penglihatan perlu diberikan ruang dan peluang pekerjaan di pasaran sekali gus menjadi contoh kepada masyarakat dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Exco Kesihatan dan Tugas-tugas Khas, Dato' Norol Azali Sulaiman berkata, ia juga bertindak sebagai bukti kepada masyarakat bagi menunjukkan bahawa mereka tidak hanya bergantung kepada orang lain seratus peratus terutama kerajaan.

Katanya, agensi kerajaan mahupun swasta perlu memberi perhatian khusus terutama berkaitan pembangunan dan kemahiran golongan tersebut bagi membolehkan mereka dapat terus berdikari.

“Sehubungan itu, sebagai langkah membantu golongan OKU penglihatan, pihak yang berkaitan perlu juga menggandakan perbelanjaan dan peruntukan dalam memberikan mereka pekerjaan.

“Melalui cara tersebut bukan sahaja dapat membantu OKU malah turut memberi rangsangan kepada orang lain. Sebagai contoh, mereka boleh menyediakan elaun kepada pekerja berlainan upaya.

“Peruntukan elaun dan sebagainya berbaloi untuk diberikan terutama mereka yang sudah tamat latihan di mana-mana pusat pendidikan dan latihan di bawah kelolaan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan jelajah pendidikan dan latihan MAB peringkat negeri Pahang, di Hotel Mega View, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Bahagian Pendidikan dan Latihan MAB, Dr S Hadi Abdullah dan Pegawai Penjaga Taman Harapan, Temerloh, Mohd Sabri Ab. Talib.

Dalam pada itu, Norol berkata, keluarga golongan OKU juga perlu berfikiran positif dan lebih terbuka bagi membantu mereka meningkatkan taraf kemahiran yang diperlukan.

“Mereka akan meningkat dewasa, dengan kemahiran dalam pelbagai bidang pekerjaan yang ada sekarang sikit sebanyak dapat membantu. Tidak semestinya mampu menjana pendapatan yang tinggi tetapi boleh berdikari mencari sumber pendapatan sendiri.

“Kita kena sedar kerana tidak selamanya ibu bapa dapat bersama-sama anak-anak istimewa ini. Satu hari mereka perlu menjaga diri sendiri justeru mereka perlu dihantar untuk pendapat kemahiran, pendidikan dan latihan yang wajar diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Dr. S. Hadi berkata kira-kira 1,300 peserta telah berdaftar untuk menjalankan latihan kemahiran di beberapa pusat pendidikan dan latihan di bawah kendalian MAB, setakat ini.

“Proses pembelajaran selama satu hingga dua tahun yang ditawarkan secara percuma dan ditanggung sepenuhnya kerajaan serta badan korporat boleh diperoleh seperti di Taman Harapan, Temerloh, pusat latihan Gurney dan pusat latihan dan pemulihan Lembah Kinta,” katanya.


0 comments:

share2