Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 22, 2017

[BENTA] KELADI KEMAHANG BANYAK PANTANG


Keladi kemahang banyak pantang


Keladi kemahang atau nama saintifiknya colocasia esculenta merupakan sejenis tumbuhan ubi jenis keladi daripada keluarga araceae yang lazimnya tumbuh liar di kawasan agak lembap dan subur.

Tumbuhan ini banyak didapati di Pahang khususnya di laluan Benta-Jerantut iaitu di Kampung Kemahang, Benta.

Menurut cerita orang dahulu kala, nama Kampung Kemahang diperoleh kerana kewujudan keladi itu yang banyak tumbuh meliar di kawasan itu.

Bagi orang Pahang, jika sebut keladi kemahang, semua tahu dan tumbuhan itu sinonim dengan masakan gulai masam tempoyak.

Tak boleh bertindih bayang

Penduduk Kampung Kemahang, Rosnah Yunus, 53, berkata, keistimewaan keladi kemahang tidak gatal sama ada daun, pelepah dan sulur keladi. Namun, punca ia tidak gatal masih tidak diketahui hingga kini.

Walaupun begitu katanya, jika salah teknik masakan, boleh menyebabkan keladi tersebut bertukar menjadi gatal dan tidak boleh dimakan.

“Cara masak keladi ni senang... lepas dicampurkan bahan asas seperti tempoyak dan lada, kacau sesekali saja. Masa di atas dapur jangan kerap mengacau atau balik-balikkan keladi, sebab boleh tukar jadi gatal sekali gus jejaskan rasa masakan,” katanya.

Dia ketika ditemui pada Program Pembentangan Potensi Keladi Kemahang dan Keladi Lambuk oleh Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Hortikultur Pahang, Mohd Ali Hanafiah Mazlan.

Kursus masakan keladi kemahang dan keladi lambuk turut diadakan sempena program itu di Kampung Kemahang, di sini.

Rosnah berkata, mengikut petua orang dahulu, semasa mengambil batang keladi kemahang, ia perlu dicabut terus dari perdunya dan tidak boleh bertindih bayang si pengambil atau bayang pokok bagi mengelakkannya menjadi gatal.

“Selain tu cuba elak ambil keladi kemahang yang berbunga sebab biasanya ia gatal. Tapi, petua berkaitan pertindihan bayang itu tak lagi jadi ikutan orang sekarang.

“Selain itu, nak kurangkan rasa gatal, petuanya adalah batang keladi kemahang direbus dulu kemudian ditos airnya atau rendam dengan air bergaram sebelum dimasak,” katanya. 

Sulur tak boleh digoreng 

Seorang lagi penduduk, Siti Meriam Hamid, 60, berkata, elemen pertama menyediakan gulai masam tempoyak keladi kemahang ialah perlu mendapatkan sulur keladi.

Katanya, bahagian batang keladi perlu dibelah pada bahagian tengah bagi membuang kulit luar menggunakan pisau tajam. 

Menurutnya, kerja memungut batang keladi kemahang yang lembut itu perlu dilakukan dengan memilih batang keladi matang dan segar sahaja.

“Sulur keladi kemahang yang masih muda boleh dijadikan beberapa jenis masakan antaranya gulai masam tempoyak, gulai lemak dan gulai asam pedas. Tapi, sulur keladi ini tak boleh digoreng.

“Pernah berlaku, ada penduduk cuba goreng sulur keladi kemahang dan memakannya. Kesannya dia terkena gatal-gatal hingga perlu dirawat di hospital,” katanya.


0 comments:

share2