Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 28, 2017

[BERA] REMAJA TAK SEGAN BELI ARAK

arak



Penjualan arak di kawasan sekitar Felda Purun yang didakwa kembali aktif sejak enam bulan lalu membimbangkan penduduk kerana dikhuatiri membawa kepada peningkatan masalah sosial di sini.

Setiausaha Kerja PKR Bera, Norazlan Zain berkata, pihaknya menerima aduan penduduk yang mahu masalah ini dipantau pihak berkenaan supaya menyekat penjualan minuman keras itu.

Menurutnya, pihaknya mempercayai individu yang menjual minuman keras tanpa lesen itu hanya menjual kepada pelanggan tetap atau mereka yang dikenali sahaja.

“Sebelum ini, memang mereka aktif menjual arak dan rokok seludup secara haram, tetapi kegiatan itu terkawal selepas pihak berkaitan mengambil tindakan.

“Tapi sejak enam bulan lalu, mereka kembali aktif menjual arak dan rokok seludup. Memang penjual tak pamer produk, tapi sentiasa ada stok kalau pelanggan mahu,” katanya.

Norazalan berkata, terdapat sebuah kedai di sini dan sebuah lagi kedai di Felda Mayan yang menjual kedua-dua produk itu secara haram.

AJK PKR Bera, Mohd Fadlee Zainuddin memberitahu, pihaknya menerima banyak aduan mengenai perkara ini memandangkan penjualan arak ini boleh memesongkan akidah umat Islam.

Katanya, menurut sumber, golongan remaja warga Felda dipercayai tidak segan membeli minuman keras itu, walaupun menerusi orang tengah.

“Peniaga ni bijak juga, jual pada orang yang dikenali. Kalau orang baru, dia beritahu tiada jual arak. Padahal, kebanyakan orang tahu.

“Saya harap, pihak berkaitan dapat buat pemantauan dan pencegahan segera. Kalau tiada permit, memang tidak patutlah dia jual. Lagi pun, jualan arak di kawasan majoriti orang Melayu beragama Islam tidak wajar,” katanya.

Sinar Harian mendapatkan penjelasan mengenai perkara kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zulkifli Mohd Sharif, difahamkan, pihaknya sudah maklum perkara itu dan telah dilaporkan kepada pihak pengurusan Felda.

Menurutnya, kegiatan penjualan minuman keras dan rokok seludup itu sudah lama beroperasi di kedai runcit di sini, dan kegiatan penjual itu penah dikekang sebelum ini.

“Tapi, difahamkan kini mereka kembali menjual pula. JKKK dah lapor kepada pihak Felda, dan kita tunggu tindakan susulan. Saya harap masalah ni dapat diselesaikan sebaiknya demi kesejahteraan penduduk," katanya




0 comments:

share2