Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 15, 2017

KEK NASI LEMAK MULA JADI TREND CITA RASA




Anda mungkin pernah dengar nasi lemak ais krim yang suatu ketika tular menerusi media sosial selain kisah Nasi Lemak Wak Kentut, Nasi Lemak Anak Dara, Nasi Lemak Pondan dan sebagainya.

Namun kini, satu lagi transformasi terhadap makanan warisan tradisional Melayu popular ini menyaksikan ia diadun menjadi Kek Nasi Lemak! Konsep baharu ini dicipta seorang wanita bernama Jennifer Yap baru-baru ini.

Sebenarnya, hidangan unik ini merupakan ‘olahan’ terbaharu dua makanan berbeza digabung berdasarkan rasa nasi lemak, selepas kemunculan ‘Biskut Nasi Lemak’ atau ‘Nasi Lemak Cookies’, dan ‘Aiskrim Nasi Lemak’.

Namun bagaimana pula rupa bentuk Kek Nasi Lemak? Adakah ia diperbuat daripada tepung atau daripada nasi? Adakah ia menggunakan krim yang berperisa sambal pedas bercili, atau menggunakan inti sambal sebenar?

Mungkin itulah antara persoalan yang bermain-main dalam fikiran sesetengah orang apabila mendengar tentang ‘Kek Nasi Lemak’. Ini jawapannya! Kek Nasi Lemak ini sebenarnya adalah nasi lemak yang dibentuk seperti kek.

Bezanya ia ada tambahan lapisan telur rebus serta diletakkan hiasan seperti sambal tumis, ikan bilis dan kacang. Malah, hiasan ‘kek’ sebenarnya boleh diubah suai mengikut cita rasa pembeli, menurut laporan laman The Star.

Kek Nasi Lemak ini dipasarkan oleh Tiana Kitchen, yang berpangkalan di Damansara, Kuala Lumpur, oleh Jennifer, 27, bersama-sama ibunya, Tatiana, 46 tahun, Bagaimanakah pasangan anak-beranak itu mendapat inspirasi?

Laman itu melaporkan, ideanya timbul setelah mereka pernah ternampak gambar-gambar menerusi Facebook dan memutuskan untuk cuba menghasilkannya sendiri sempena parti ulang tahun anak Jennifer pada tahun lalu.




Meskipun idea Kek Nasi Lemak itu bukanlah baharu, tetapi menurut Jennifer, mereka mungkin merupakan yang pertama seumpamanya memulakan perniagaan khas dengan menjualnya secara serius dalam skala komersial.

Apa yang menariknya, ‘kek’ yang dijual bukan hanya diletakkan hiasan biasa, iaitu ikan bilis dan kacang, bahkan Tiana Kitchen menawarkan pelbagai lagi jenis ‘topping’ supaya pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan.

Jika dilihat laman Facebook Tiana Kitchen, antara ‘topping‘ yang ditawarkan termasuk petai, sotong dan abalone. Selain itu, Kek Nasi Lemak mereka juga kelihatan menarik dengan bahagian tepinya ‘dipagari’ hirisan timun.

Adakah ini kerja gila atau kreatif? Kata bidalan Melayu, tepuk dada tanya selera. Belum cuba belum tahu. Mungkin pelangganlah jadi hakim terbaik segala usaha pembaharuan berdasarkan sambutan dan jumlah pesanan diterima.

Mungkin selepas ini muncul pula Kek Mi Rebus, Kek Mi Bandung, Kek Nasi Ambeng, Kek Nasi Minyak atau Kek Nasi Beriani? Dengan daya kreatif manusia masa kini, tiada yang boleh menyatakan ini ‘tidak mungkin’ berlaku.

Segalanya mungkin dewasa ini. Mungkin persoalan yang lebih tepat ialah: Siapakah yang akan menjadi pemulanya?Sebelum ini, terdapat seorang anak muda yang mencipta Aiskrim Nasi Lemak biarpun janggal bunyinya.

Biness itu berjaya menjadi satu inovasi yang menarik perhatian ramai. Nasi lemak juga pernah diolah menjadi kek cawan dan terdapat beberapa peniaga online yang mengambil langkah berani menghasilkan menu ‘mutasi’ itu.

Ternyata, Nasi Lemak bukan sekadar makanan tradisi yang digemari ramai. Ia mampu bertahan dari zaman ke zaman malah boleh diubah suai mengikuti cita rasa moden. Cukup hebat!


0 comments:

share2