Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 28, 2017

[LIPIS] PENDUDUK BOLEH TARIK NAFAS LEGA

Penduduk boleh tarik nafas lega



Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang berjaya menangkap seekor gajah jantan liar di Kampung Tanjung Buluh kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Pengarah Perhilitan negeri, Ahmad Azhar Mohammed berkata, gajah jantan berusia lebih 15 tahun dan seberat hampir dua tan metrik itu pada mulanya dikesan sedang memakan tanaman di kebun milik penduduk kampung.

Menurutnya, seramai lapan kakitangan Unit Tangkapan Gajah kemudiannya berjaya menjejaki haiwan liar tersebut yang berada di dalam hutan berhampiran.

“Gajah jantan yang mempunyai tapak selebar 13 inci ini telah berulang kali masuk ke beberapa kampung sekitar untuk mencari makanan dan pihak kami menerima beberapa laporan tentang kerosakan tanaman milik penduduk kampung.

“Kakitangan Perhilitan telah masuk ke kawasan kampung sejak Selasa lalu untuk mengesan kedudukan gajah berkenaan dan pagi tadi (semalam) kita berjaya menangkap haiwan tersebut dengan menggunakan ubat pelali.

“Ketika menjalankan operasi menangkap gajah ini, haiwan berkenaan dalam keadaan baik dan tidak bertindak agresif,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ahmad Azhar berkata, gajah terbabit diletakkan di suatu kawasan hutan kampung tersebut selama beberapa hari sebelum operasi pemindahan yang dilakukan dengan bantuan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.

Menurutnya, pihaknya juga akan menggunakan bantuan denak daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah untuk membawa keluar gajah jantan tersebut dari dalam hutan.

“Sebelum membawa keluar gajah, kita akan pastikan kesihatan dan keselamatan haiwan itu dalam keadaan baik. Sejurus dibawa keluar daripada kawasan ini, gajah jantan terbabit akan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka Hulu Terengganu.

“Dengan tertangkapnya gajah itu, masalah yang dihadapi penduduk kampung yang juga pemilik kebun pisang dan getah dijangka selesai,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan gajah berkenaan mula menghampiri kawasan kampung menimbulkan keresahan penduduk yang bimbang keselamatan selain mengalami kerugian akibat kemusnahan kebun pisang dan getah sejak awal tahun ini.




0 comments:

share2