Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 16, 2017

PAS SENARAIKAN CALON DUN, PARLIMEN


Pas


Alor Setar - Pas Kedah sudah menyenaraikan calon PRU14 bagi 36 kerusi Dun dan 15 kerusi Parlimen, namun belum memuktamadkan jumlah kerusi untuk ditandingi.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, senarai itu telah dihantar kepada Pas Pusat untuk dipertimbangkan.

“Ini sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan PRU14 diadakan lebih awal. Kita turut wujudkan bank calon, di mana beberapa nama diletakkan sebagai calon di satu-satu kerusi,” katanya, pada sidang media, selepas Konvensyen Pas Kedah bertemakan ‘Kembali memerintah Kedah’, semalam.

Menurutnya, senarai ini merupakan yang pertama diserahkan kepada Pusat, dan belum disenaraipendek.

“Nama yang tersenarai itu dipilih daripada semua 15 Pas kawasan. Pas Kedah masih berunding dengan Pusat jumlah kerusi ditandingi berdasarkan kepada hasil kajian lajnah negeri dan Institut Strategik Pas Pusat,” katanya.

Bagaimana pun, Pas akan mengekalkan jumlah 24 kerusi ditandingi sebelum ini selain mengintai potensi kerusi baharu untuk bertanding.

“Sekurang-kurangnya Pas Kedah akan bertanding 24 kerusi, itu minimum kerana kajian masih berjalan,” katanya.

Mengulas kemungkinan wakil rakyat sedia ada yang dilihat mesra Pakatan Harapan akan disingkirkan daripada senarai calon, katanya, ia bergantung kepada keputusan Pas Pusat.

“Pas Pusat akan buat keputusan akhir, kita tidak boleh umum lagi, tunggulah parlimen dibubarkan atau hari penamaan calon,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, Kedah juga berhasrat menyumbang lapan kerusi parlimen bagi memenuhi hasrat Pas untuk menang 40 kerusi parlimen.

“Sasaran Pas Kedah menang lapan kerusi parlimen, itu jumlah yang pernah kita menang, tak mustahil sejarah berulang, Ini bukan cakap kosong, kami sasar berserta fakta dan keyakinan,” katanya.

Menurutnya, parti itu juga yakin dapat merampas kembali Kedah, walaupun terpaksa berdepan saingan BN, Bersatu mahupun Pakatan Harapan.


0 comments:

share2