Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 21, 2017

PERLU RM1.5JUTA BINA MASJID


Perlu RM1.5j bina masjid


Bidor - Jawatankuasa Masjid Jalan Tapah Bidor memerlukan sumbangan RM1.5 juta bagi menambah dana untuk membina sebuah masjid baharu bersebelahan Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, di sini.

Setiausahanya, Azmi Hashim, 63, berkata, masjid baharu perlu dibina kerana Surau Diri Jumaat di Taman Sri Bidor sudah tidak dapat menampung bilangan jemaah bagi menunaikan solat Jumaat yang semakin bertambah.

Katanya, ini kerana, terdapat beberapa taman perumahan baharu akan dibina dalam masa terdekat selain Kem PGA sedia ada serta bilangan penduduk di Taman Sri Bidor yang bertambah dari masa ke masa.

"Pembinaan masjid di Jalan Tapah Bidor jadi satu keperluan kariah dan pengunjung yang menjalankan urus niaga di kawasan ini dan sekitar.

"Kami melihat kepada keperluan masjid yang khusus dan selesa pada kariah itu sendiri dan satu jawatankuasa masjid baru Jalan Tapah Bidor dibentuk terdiri daripada wakil setiap kawasan perumahan," katanya.

Azmi berkata, pihaknya telah mengenal pasti lokasi seluas 2.4 hektar untuk membina sebuah masjid yang menelan belanja RM6 juta yang boleh memuatkan kira-kira 1,500 jemaah.

Katanya, Adun Ayer Kuning turut membantu mencari dana dengan memohon daripada pihak ICU sebanyak RM4.5 juta.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mencari dana sebanyak RM1.5 juta bagi memastikan pembinaan yang dijangka bermula tahun ini dapat berjalan dengan lancar.

"Oleh itu, kami memohon kepada mana-mana pihak individu mahupun syarikat untuk membantu kami menambah dana untuk membina Masjid Jalan Tapah Bidor untuk kegunaan umat Islam bersama," katanya.


0 comments:

share2