Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 19, 2017

[BERA] MAHU PERKASAKAN ARKED MDB


Mahu perkasakan Arked MDB


Pembinaan bangunan Arked Majlis Daerah Bera (MDB) bukan sahaja dijangka mampu menjadi identiti baharu di sini, malah diharap dapat memberikan manfaat kepada penduduk sebagai pusat sehenti.

Namun, hasrat penduduk untuk melihat kelainan fungsi bangunan ini dengan bangunan premis perniagaan yang lain di kawasan berdekatan mungkin tidak tercapai, lebih-lebih lagi kemudahan pusat sehenti itu tidak mungkin dilaksanakan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Angsana, Rosalan Hassan, 61, berkata, semasa proses pembinaan arked ini dilaksanakan kira-kira setahun lalu, penduduk beranggapan ia mampu menaikkan imej Bandar Bera dan Kerayong memandangkan reka bentuk bangunan yang agak unik selain kedudukannya strategik.

“Saya sendiri membayangkan mungkin premis lima pintu ini merupakan satu lokasi yang membolehkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan berkaitan terminal layan diri seperti kios untuk pembayaran bil, atau premis menjual produk tempatan bagi menonjolkan Bera kepada orang luar.

“Mungkin juga terdapat Pusat Informasi Pelancongan yang membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan tempat menarik di daerah ini. Tapi sayangnya setakat ini difahamkan fungsi arked ini sama seperti bangunan kedai yang lain,” katanya.

Menurut Rosalan, walaupun perkembangan ekonomi di sini jauh ketinggalan dengan pembangunan ekonomi di Triang namun ia tidak wajar dibandingkan, sebaliknya MDB perlu merancang pembangunan di kawasan ini dengan lebih teratur terutamanya untuk kepentingan masyarakat Melayu di sini.

Mahu MDB main peranan

Seorang penduduk Mohd Salleh Piei, 69, berkata, masyarakat di sini memerlukan segala kemudahan yang ada bagi menyenangkan urusan mereka tanpa perlu ke daerah lain untuk membuat pembayaran bil atau berurusan dengan institusi kewangan.

“Sedia maklum, ada bank yang ditamatkan operasi di daerah ini menyebabkan orang ramai terpaksa keluar ke Temerloh atau Kuantan untuk berurusan rasmi. Kalau setakat mesin deposit atau mesin pengeluaran wang, ia masih disediakan walaupun ada masanya perkhidmatan tergendala.

“Saya percaya, ramai yang mahu semua perkhidmatan dapat disediakan di sini kerana masing-masing bukannya boleh berurusan secara talian, mereka juga tiada masa ke keluar dari daerah ini sebab kekangan masa. Jadi, MDB kena bantu masyarakat dalam hal ini,” katanya.

Tambahnya, pihak MDB boleh menyediakan beberapa kios pada peringkat awal, dan menambah perkhidmatan yang lain pada masa akan datang pula.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jang Nong Chik berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara ini, dan menyokong semua usul yang dikemukakan penduduk asalkan ia beri kebaikan dan faedah kepada masyarakat.

Menurutnya, semua idea pemikiran, perancangan dan pembangunan yang dilaksanakan perlu diseimbangkan agar kerancakan ekonomi dapat dipertingkatkan di daerah ini.

Katanya, pada masa akan datang, kem tentera dan maktab rendah sains Mara (MRSM) yang bakal siap tidak lama lagi akan meningkatkan jumlah pengguna terhadap kemudahan-kemudahan tersebut, dan sekiranya pihak berkenaan gagal menyediakan perkhidmatan itu, sudah pasti merugikan ekonomi di sini.

“Kalau semua kemudahan perkhidmatan dah ada di sini, pengguna tak perlu nak keluar daerah. Secara tidak langsung, ekonomi di Bera akan meningkat.

“Begitu juga dengan sektor pelancongan, ia perlu juga dipandang serius supaya semua lokasi menarik di sini dapat diperkenalkan kepada masyarakat. Masih ada penduduk tempatan yang tidak mengetahui Tasek Bera, Taman Rekreasi Bukit Bertangga, aktiviti di persisiran kampung Sungai Pahang dan banyak lagi,” katanya.


0 comments:

share2