Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 17, 2017

BERI PELUANG THE PROFESSOR LAKSANA TANGGUNGJAWAB


Beri peluang The Professor laksana tanggungjawab


Penyokong bola sepak tanah air diminta beri peluang kepada Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada, 64, atau lebih dikenali sebagai Nelo Vingada untuk buktikan keupayaannya membimbing skuad Harimau Malaya.

Timbalan Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (n9futbol.com), Mohd Faidzul Mohamad Noh berkata, walaupun Vingada mungkin bukan nama besar seperti diharapkan peminat, namun rekod prestasinya masih perlu diambil kira.

“Beliau jurulatih berpengalaman luas dan telah membimbing banyak kelab di seluruh dunia, termasuk beberapa pasukan kebangsaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerisauan penyokong mungkin tertumpu pada latar belakangnya yang tidak bertahan lama ketika bersama sesebuah pasukan.

“Ada juga berpendapat, karakter Vingada yang cukup tegas akan menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan pemain negara yang terkenal dengan sikap ‘manja’.

“Walau apa pun, kita selaku penyokong setia pasukan kebangsaan harus berfikir secara positif dan beri kepercayaan kepada beliau untuk melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Media melaporkan semalam, Vingada yang juga dikenali dengan jolokan The Professor ekoran kaedah pengurusannya, telah dipilih sebagai pengendali skuad kebangsaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan akan tiba ke tanah air pada 25 Mei ini.


0 comments:

share2