Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 16, 2017

DUA WANITA CABAR DIRI

Dua wanita cabar diri



KITA biasa mendengar mekanik automotif dalam kalangan lelaki. Namun, apa jadinya jika profesion itu diserahkan kepada perempuan?

Namun, ia bukanlah perkara asing di Jengka Tyre Services & Trading, Bandar Pusat Jengka di sini, yang mengajikan dua mekanik wanita.

Bukan senang buat kerja membaiki kenderaan apatah lagi jika dilakukan wanita tetapi tidak bagi Nor Haslinda A Majid, 28, atau mesra disapa Linda dari Felda Jengka 20, di sini.


Gadis ini terjun ke dunia automotif sejak tujuh tahun lalu, bermula sekadar menukar minyak hitam kenderaan kini dia hampir menguasai semua kemahiran membaiki kenderaan.

“Saya mula kerja di Jengka Tyre pada 2013. Sebelum itu dah kerja di bengkel lain selama tiga tahun sebagai mekanik. Alhamdulillah setakat ini tak ada lagi maklum balas negatif pelanggan kepada bos tentang hasil kerja saya.

“Kereta, lori, semua boleh. Masa sekolah dulu memang saya lasak. Semua sukan saya masuk kecuali bola jaring. Kawan-kawan yang kenal saya dulu tak pelik saya kerja mekanik, cuma ada sekali tu cikgu datang hantar kereta ke sini. Dia terkejut saya yang baiki kereta dia,” katanya.

Menceritakan mengenai karakternya, anak bongsu daripada lima beradik ini mengakui didedahkan dengan aktiviti dan pekerjaan lasak semenjak kecil.

“Waktu kecil saya selalu ikut arwah ayah ke ladang kutip getah. Arwah ayah memang percayakan saya untuk buat kerja-kerja berat dan kasar. Masa mula-mula pilih kerja bengkel dulu pun ayah tak marah malah sokong, cuma mak je larang. Sebab dia risau keselamatan saya.

“Tapi lama-kelamaan dia tak kisah sebab tengok saya okey dan boleh bawa diri. Walaupun, kerja di kampung gaji tak mahal tapi sedikit sebanyak dapatlah saya berdikari dan ringankan beban keluarga,” katanya.

Ibu Linda, Meriam Ishak, 60, menghidapi penyakit angin ahmar hampir dua tahun dan kini tinggal bersama abangnya di Pekan, Pahang.
Sebati dengan automatif

Bidang automatif sememangnya sebati dengan diri Linda kerana abang sulungnya juga bekerja di bengkel sebagai mekanik.

Dari situ, minat dan sikap ingin tahunya semakin bercambah malah bercita-cita untuk memiliki bengkel membaiki kenderaan sendiri, suatu masa nanti.






Mengakui bukan tugas yang mudah, tetapi didorong oleh minat dan kepuasan yang mendalam, menyebabkan Linda mahu kekal dalam bidang ini.

“Saya harap segala pengalaman yang saya timba ini akan buka peluang dan ruang untuk saya melangkah lebih jauh. Ada bengkel sendiri atau mungkin buka kedai cuci kereta sendiri. Kewangan memang satu beban utama sebab itu saya kerja dulu untuk belajar dari pengalaman.

“Alhamdulillah selama tujuh tahun dalam bidang ini saya dah tahu banyak perkara. Tukar tayar, tukar minyak hitam, servis enjin dan baiki kerosakan. Semua tu dah pandai. Bidang automotif seakan sebati dalam diri. Bukan setakat tayar kereta tapi tayar lori dan lori bersendi pun ada,” katanya.
Seronok ada kawan

Bagi Nor Fareza Azwa Nazari, 31, minat ke arah pekerjaan tersebut mula bercambah setelah kehadiran Linda ke bengkel tersebut.

“Saya mula kerja di sini sejak 2009 sebagai kerani. Mula-mula tu kekok dan tak berapa seronok sebab di sini semuanya lelaki. Tapi, lepas Linda minta kerja di sini pada 2013 saya mula minat nak belajar baiki kereta dan tukar tayar.





“Saya suka pekerjaan lasak. Bila dah ada kawan, pelajaran jadi mudah. Lagipun, Linda tahu banyak perkara dan tak lokek kongsi ilmu. Bos pula memang galakkan staf belajar selok-belok automotif,” katanya.

Anak kedua daripada enam beradik berasal dari Felda Jengka 16 ini, kini tinggal bersama ibu dan dua adik.

“Sejak ayah meninggal pada 2012, saya ambil alih tugas kakak jaga keluarga. Ibu saya ambil upah buat kuih musim perayaan dan kenduri. Sebab tu saya tak pilih kerja. Apa sahaja peluang yang ada saya ambil.

“Saya dan Linda ada persamaan. Kami anak yatim. Sebulan selepas ayahnya meninggal, ayah saya pula meninggal dunia. Kami tak memilih kerja dan sukakan cabaran. Lebih-lebih lagi galas pekerjaan yang biasa dimonopoli lelaki,” katanya.
Hargai sokongan ketua

Mereka juga berterima kasih kepada pemilik bengkel, Mazlan Sharit yang sentiasa beri galakkan untuk mereka terus belajar dan timba pengalaman.

“Bos selalu pesan kalau benda-benda berat minta tolong mekanik lelaki yang angkat. Tapi kebiasaannya selagi boleh, selagi itu kami buat sendiri. Tak mahu susahkan pekerja lain.

“Saya selalu tanam dalam diri, kalau orang lain boleh, aku pun boleh. Bos pula sentiasa galakkan kami banyak belajar.

“Kalau ikutkan, saya dah kerja macam macam. Jaga kedai, juru jual dan banyak lagi. Tapi akhirnya saya jumpa kepuasan pada kerja-kerja bengkel. Lagipun, sekarang saya ada kawan (Linda). Mana tahu kami boleh bekerja sama dengan membuka bengkel sendiri, suatu hari nanti,” katanya.




0 comments:

share2