Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 19, 2017

[LIPIS] GURU SEKOLAH MEMANDU NYARIS MAUT


Guru sekolah memandu nyaris maut


Kuala Lipis - Seorang guru sekolah memandu di sini, parah selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 2, Jalan Lipis-Jerantut, di Kampung Tanjung Lipis di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Chai Khen Hoi, 48, dipercayai memandu sendirian dari arah Jerantut menghala ke Lipis.

Sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke gaung sedalam 15 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Penolong Penguasa Bomba Haslizan Ramli berkata, sejurus menerima maklumat kejadian, tujuh anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian didapati kereta dipandu mangsa telah terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter manakala mangsa tersepit dan masih berada di dalam kenderaan.

“Pasukan bomba berjaya bantu mengeluarkan mangsa yang tersepit itu dan menaikkannya ke atas dengan menggunakan ‘bucket strecher’ serta tali.

“Mangsa diserahkan kepada pegawai perubatan dan dihantar ke Hospital Lipis untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu Ketua Polis Lipis, Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, mangsa belum buat laporan berhubung kemalangan berkenaan.

Tambahnya, mangsa kini berada di Hospital Lipis dan keadaannya stabil.


0 comments:

share2