Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 14, 2017

PADAH JUAL KERETA TANPA TUKAR NAMA

Padah jual kereta tanpa tukar nama



KAMUNTING – Niat seorang kakitangan kerajaan untuk menjual kereta BMW 320i tidak kesampaian apabila kenderaan miliknya itu hilang.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 31, berkata, sebelum ini kereta tersebut dibayar bersama dengan bekas suami, namun selepas berpisah dia ingin menjualkannya.

Menurutnya, sekitar Disember 2015, dia telah mengiklankan kereta terbabit di sebuah laman web dengan harga RM70,000.

"Ada seorang yang berminat untuk beli kereta itu. Pada 14 Januari, saya telah berjumpa dengan individu itu di Tesco Taiping sekitar jam 2 petang untuk bincang urusan jual beli kereta itu," katanya pada sidang media, di sini semalam.

Katanya, individu terbabit melihat keadaan kereta dan akhirnya bersetuju untuk membelinya pada harga RM68,000.

"Kemudian saya terus serahkan kereta itu dan orang tu berjanji akan buat proses tukar nama dalam masa tiga minggu. Pada Februari, saya diminta untuk serahkan geran kereta kepada salah seorang rakannya di hadapan bank CIMB, Greentown Ipoh.

"Selepas itu, setiap bulan saya tak henti-henti telefon individu itu tanyakan tentang proses tukaran nama, tapi jawapan diterima tetap sama, dalam proses," katanya.

Lebih mengejutkan, kata Nurul, pada Jun 2016, dia telah menerima panggilan daripada pihak bank menyatakan bahawa ansuran bulanan kereta berkenaan tertunggak selama tiga bulan.

"Saya sekali lagi cuba hubungi individu itu dan dia beritahu kereta itu ada di Johor dan jika bank nak tarik, biarkan saja.

"Tak puas hati dan bimbang dengan perkara itu, saya minta dia pulangkan semula kereta itu tapi dia enggan," katanya.

Tambahnya, dia akhirnya membuat laporan polis pada Ogos 2016 apabila individu itu tidak lagi dapat dihubungi.

"Saya bimbang bila terima surat saman atas kesalahan had laju di Alor Setar dan hingga kini masih gagal temui kereta itu.

"Lagi risau takut kereta ni digunakan dalam kegiatan jenayah sedangkan proses tukar nama masih tak selesai," katanya.

Sementara itu, Penasihat Pengguna Taiping, Dr. Billy Toh berkata, masalah tersebut menjadi kesalahan kerana menjual kereta tanpa pengetahuan pihak bank.

"Kesalahan itu di bawah Akta Sewa Beli 1967 Pindaan 2010, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Jelas Billy, kes seperti ini banyak dilakukan individu yang mahu menjual kenderaan mereka kerana menganggap ia lebih mudah dan cepat.

"Namun sebenarnya, pengguna terdedah kepada pelbagai masalah dan musibah sekiranya proses pertukaran nama itu tidak dilakukan. Kenderaan terbabit boleh digunakan untuk kegiatan jenayah dan sebagainya.

"Oleh itu, dinasihatkan kepada semua pengguna supaya jangan sesekali berbuat demikian kerana kesannya amat buruk," katanya.




0 comments:

share2