Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 22, 2017

[LIPIS] 'SAYA TENGOK ULAR TU DAH TEGAK'


‘Saya tengok ular tu dah tegak’


Seorang penduduk berdepan detik cemas apabila nyaris dipatuk ular tedung selar yang berukuran lebih dua meter kira-kira sekitar jam 6.15 petang, kelmarin.

Abdullah Ridzuan, 35, berkata, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan menuju ke arah Kampung Sungai Lik sebelum haiwan berbisa seberat 10 kilogram itu muncul dari celah semak berhampiran Masjid Kampung Sungai Lik.

“Ular tedung selar atau orang panggil naga moghe ni...tiba-tiba bertindak agresif dengan mematuk bahagian belakang motor saya.

“Saya berhentikan motor, saya tengok ular tu dah tegak dan cuba serang saya berkali-kali. Saya cepat-cepat cari kayu tapi tak jumpa, nasib baik ada batang besi...bolehlah buat untuk pertahankan diri, risau kena patuk. Masa tu ada penduduk lain juga datang tolong nak tangkap ular.

“Tapi, saya tunggu ular keletihan dulu, lepas tu saya tekan kepalanya ke tanah dan Alhamdulillah, saya dapat tangkapnya hidup-hidup dengan bantuan penduduk,” katanya.

Menurutnya, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Limau Purut, Abdul Mazik Harun bertindak segera menghubungi Pasukan Bomba dan Penyelamat Lipis bagi memohon bantuan serta menyerahkan haiwan itu kepada bomba untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Limau Purut, Mohamad Dewan Nordin menghargai kerjasama penduduk yang turut sama membantu menangkap haiwan berbisa itu.

“Alhamdulillah, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku ketika berhadapan situasi itu,” katanya kepada Sinar Harian.


0 comments:

share2