Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 9, 2017

BENDUNG ATEIS SEBELUM TERLAMBAT: MUFTI


Anak Melayu ateis dikecam


Seremban - Tindakan segera perlu diambil untuk membendung penularan fahaman ateis yang menolak kepercayaan terhadap kewujudan Tuhan, bagi memastikan doktrin berkenaan tidak berleluasa di negara ini sehingga di luar kawalan.

Demikian gesaan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad ketika mengulas dakwaan berhubung kewujudan sekumpulan individu yang menyertai perjumpaan sebuah pertubuhan ateis di ibu negara, baru-baru ini.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad

Kumpulan terbabit dipercayai terdiri dalam kalangan orang Melayu beragama Islam yang menggelarkan diri mereka sebagai 'bekas Muslim' dan cawangan pertubuhan itu di negara ini dikenali dengan nama The Atheist Republic Consulate of Kuala Lumpur.

"Semua pihak terutama ahli agama dan pihak berkuasa kena main peranan. Jangan anggap ini situasi terpencil dan boleh dipandang ringan.

"Tapi nampaknya, rata-rata tidak berapa ambil peduli terhadap perkara ini. Dikhuatiri lagi lama dibiarkan, akan melarat sampai tidak boleh dibendung kelak," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, sebuah pertubuhan ateis, Atheist Republic yang berpangkalan di luar negara dikatakan telah mengadakan perjumpaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Gambar mereka dimuat naik di Facebook rasmi Atheist Republic pada 3 Ogos lalu dengan keterangan mengenai kejayaan penganjuran itu dan ahli berkongsi kisah masing-masing.

Sementara itu, tambah Mohd Yusof, dalam hukum Islam, kata beliau, individu yang terlibat sepatutnya ditahan dan diminta bertaubat kepada ALLAH SWT.

"Seandainya masih berdegil, maka individu berkenaan perlu dikenakan hukuman mati. Itu ijma' ulama.

"Memandangkan hukum Islam tidak dapat dijalankan secara 100 peratus di negara ini, pihak yang mempunyai autoriti perlu buat segala termampu untuk membendungnya.

"Kaedah fikah ada menyebut iaitu kalau tidak boleh dibuat semua, jangan pula ditinggalkan semuanya," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut situasi melibatkan ateis, Mohd Yusof berkata, umat Islam seharusnya mengambil peringatan daripada pesanan Rasulullah SAW.

"Sabda Baginda SAW yang bermaksud: 'Islam datang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali asing sebagai mana kedatangannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu'.

"Ini tidak bermakna umat Islam perlu berdiam diri dan pasrah saja dengan apa yang berlaku.

"Sebaliknya pesanan Baginda SAW sebagai peringatan agar kita berwaspada dan bersedia untuk mempertahankan Islam.

"Masalahnya sekarang, ramai lebih bergantung pada politik. Disebabkan ingin menjaga hati semua pihak, sampaikan sanggup ketepikan agama," katanya.


0 comments:

share2