Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 10, 2017

[BENTONG] ‘MACAM HILANG LIMPAHAN NIKMAT'


‘Macam hilang limpahan nikmat’


Mengambil keputusan keluar daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk mengusahakan sendiri ladang kelapa sawit sejak lima tahun lalu ternyata beri pengalaman pahit kepada dua peneroka Felda Lurah Bilut, Muhammad Asri Lazim, 33, dan Ow Yik Wah, 60.

Tindakan yang dibuat pada 2012 itu menyebabkan mereka terpaksa melalui detik yang sukar kerana tidak mendapat bantuan dan faedah daripada Felda sehingga memaksa mereka berpatah balik menjual hasil sawit terus kepada Felda.

"Sebab itu, adalah menjadi satu berita gembira apabila permohonan untuk kemasukan semula ke Felda diluluskan," kata Muhammad Asri dan turut berkongsi perasaan gembira yang samabersama Yik Wah.

Muhammad Asri berkata, selama lima tahun tidak bersama Felda dia berasa begitu terpinggir dan berasakan kehilangan daripada limpahan nikmat yang diberikan Felda selama ini.

“Sebelum ni saya rasa dianaktirikan sebab tak dapat apa-apa manfaat daripada Felda seperti bonus, duit raya dan pelbagai bantuan serta tidak dapat buat pinjaman sebab tiada penyata pendapatan. Macam hilang limpahan nikmat.

“Tapi hari ni (semalam, saya bersyukur bila dimaklumkan permohonan saya nak masuk semula ke Felda yang dibuat penghujung 2016 diluluskan. Saya tak sabar nak bersama Felda semula,” katanya ketika ditemui di Pejabat Felda Lurah Bilut di sini, semalam.

Tak terima insentif

Muhammad Asri berkata, banyak kelemahan dan kerugian akibat keluar daripada pengurusan Felda termasuklah tidak menerima manfaat seperti pelbagai insentif diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Menurutnya dengan kembali kepada Felda, ia adalah satu-satunya jalan terbaik dalam menjamin masa depannya dan keluarga.

Sementara itu, menceritakan mengenai keputusannya keluar daripada pengurusan Felda, tindakan tersebut dibuat memandangkan pada masa itu pokok getah yang ditanam di ladangnya sudah tidak mengeluarkan hasil.

“Saya buat keputusan memohon kepada Felda untuk menebang sendiri dan menanam pokok kelapa sawit memandangkan proses penanaman semula oleh Felda masih lambat lagi,” katanya.

Rugi keluar Felda

Sementara itu, Yik Wah berkata, keputusan keluar Felda dengan menjual sendiri hasil kelapa sawit lebih banyak memberikan kesan negatif.

Menurutnya, kos pengurusan kelapa sawit yang terpaksa ditanggung juga begitu membebankan yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Tambahnya, harga belian kelapa sawit yang murah oleh syarikat swasta berbanding harga lebih mahal oleh Felda begitu merugikan.

“Keputusan nak masuk semula ke Felda dengan jual hasil sawit terus kepada Felda ini bukanlah semata-mata kerana insentif RM5,000 tapi kerana manfaat jangka panjang yang diterima bersama Felda,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peneroka Tan Tai Huat, 57, berkata dirinya turut telah menghantar permohonan pada tahun lalu bagi membolehkan hasil kelapa sawitnya dapat dihantar terus ke Felda.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan pada 23 Julai lalu ada umumkan enam insentif untuk peneroka dan warga Felda dalam memastikan keselesaan serta kebajikan golongan itu sentiasa terjaga.

“Menerusi insentif terbaru tu, peneroka bakal menikmati pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan,” katanya.


0 comments:

share2