Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 12, 2017

[JERANTUT] PENDUDUK TIGA KAMPUNG DIANCAM GAJAH LIAR


Penduduk tiga kampung diancam gajah liar


Lebih 1,000 penduduk di tiga kampung di daerah ini diancam serangan 11 ekor gajah liar sejak seminggu lalu menyebabkan lebih 50 hektar kawasan kebun pisang dan kelapa sawit mereka turut musnah.

Adun Pulau Tawar, Dato' Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, serangan gajah liar itu bermula sejak Jumaat lepas dan berlarutan hampir seminggu menyebabkan penduduk terpaksa memohon bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

"Haiwan ini memusnahkan tanaman milik penduduk dan ada kalanya menghampiri kawasan perumahan penduduk menyebabkan kawalan ketat terpaksa dilakukan demi keselamatan penduduk.

"Antara kampung ialah Kampung Kelola, Kampung Bukit Nikmat dan Kampung Batu Leja," katanya kepada pemberita selepas melawat kebun milik penduduk yang musnah dalam kejadian itu.

Katanya kali terakhir kawasan berkenaan menghadapi masalah serangan gajah liar adalah pada 2003 dan beliau tidak menafikan serangan kali ini berpunca daripada penerokaan hutan secara berleluasa di kawasan berhampiran.

Berikutan itu Ahmad Shukri berkata, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan satu kawasan perlindungan untuk gajah dan hidupan liar lain di kawasan seluas 12, 140 hektar untuk memelihara habitat berkenaan.

"Kita akan mengadakan satu mesyuarat jawatankuasa khas penempatan gajah pada 22 Ogos di Perhilitan Kuantan bagi membincangkan kawasan yang sesuai untuk tujuan ini," katanya.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Pahang, Ahmad Azhar Mohammed berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk menghalau kumpulan gajah liar ini demi memastikan keselamatan penduduk kampung.

"Kita percaya kumpulan gajah liar ini keluar daripada kawasan hutan simpan berhampiran untuk mendapatkan sumber makanan dan kita terpaksa mengambil tindakan pantas menghalau untuk mengelakkan kawasan kampung dijadikan sebagai habitat baharu," katanya.

Antara cara yang digunakan termasuk melepaskan tembakan ke udara untuk menakutkan haiwan itu, membakar mercun dan penggunaan lampu khas LED berwarna biru untuk mengelakkan kumpulan haiwan ini menghampiri kawasan kampung.

"Kita percaya berdasarkan pergerakan terbaharu, kumpulan gajah ini akan dapat dihalau semula ke habitat asal dalam tempoh sehari dua lagi," katanya.


0 comments:

share2