Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 12, 2017

[KUANTAN] IBU TUNGGAL CEKAL HADAPI DUGAAN


Ibu tunggal cekal hadapi dugaan


Membesarkan anak-anak sendirian tanpa bantuan selama hampir dua tahun menjadikan seorang ibu tunggal di Lorong Selamat 10, Kampung Seri Damai di sini, semakin cekal untuk menempuh hari-hari mendatang.

Zarifah Ibrahim, 43, berkata, bagi meneruskan kelangsungan hidup dia tekad membuat karipap mini dan menjualnya di kedai-kedai berdekatan.

Katanya, selama ini tak pernah keluar bekerja namun selepas suaminya, Mahrom Tuli, 47, meninggal dunia akibat kanser hati dia cekal demi membesarkan tujuh anaknya yang sudah berusia dua hingga 22 tahun.

“Pada mulanya memang buntu memikirkan nak cari nafkah seorang diri namun saya kuatkan semangat dengan berniaga secara kecil-kecilan.

“Dengan buat karipap mini yang dijual RM1 sebungkus, ia sebenarnya masih tak mencukupi kerana secara purata pendapatan diperoleh hanya RM300 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Justeru, kata Zarifah dia berhasrat memohon bantuan untuk membesarkan penghasilan pembuatan karipap mini bagi menambah pendapatan.

Dia juga tidak pernah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi ada menerima sumbangan zakat RM200 setiap bulan dalam bentuk baucer pembelian barang keperluan asas.

“Dengan jualan karipap mini ini dapatlah sedikit duit namun kalau boleh saya hendak besarkan dan mempunyai mesin uli bagi mudahkan saya buat kuih ini kerana pendapatan sebulan sekarang memang tak cukup,” katanya yang hanya berupaya membuat sebanyak empat kilogram tepung (400 biji) dalam satu masa.

Sementara itu, katanya, dia bersyukur kerana menetap di rumah sendiri hasil peninggalan arwah suaminya walaupun dibina di atas tanah milik orang lain.

“Saya bersyukur jiran-jiran amat menyokong dan banyak membantu,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubunginya di talian 014-9320308.


0 comments:

share2