Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 22, 2017

[ROMPIN] BERBALOI TANAM ROZEL


Berbaloi tanam rozel


Tanaman rozel yang diusahakan secara bermusim oleh 30 peserta Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Murni, di sini mampu memberi pulangan hasil yang lumayan.

Kebun seluas kira-kira 0.5 hektar yang diusahakan bagi setiap peserta berhampiran kampung itu tidak memerlukan modal yang besar dan mudah untuk diuruskan sekali gus amat sesuai diusahakan oleh golongan wanita.

Bergantung kepada sifat rajin dan semangat yang kuat, pada musim buah rozel menjadi mereka boleh meraih pendapatan mencecah RM700 seminggu.

Seorang penduduk, Nor Amizan Abd Hamid, 60, berkata, projek itu dibangunkan pada tahun 2007 namun menyertainya tiga tahun lalu selepas dipelawa oleh rakan-rakannya yang terlebih dahulu terlibat dalam aktiviti itu

“Sebelum ini saya tanam pisang, tebu, ubi kayu dan beberapa tanaman lain tapi tiga tahun lepas saya pilih untuk usahakan kebun rozel selepas diajak kawan-kawan kerana modal tidak besar serta mudah 
diuruskan.


Buah rozel yang dipetik dikumpulkan di dalam bakul besar sebelum bijinya dibuang.


“Saya adalah peserta PPRT dan tinggal di kampung ini sejak 20 tahun lalu. Saya dapat rasakan potensi tanaman ini yang memberangsangkan selepas tengok hasil jualan rakan-rakan dan kemudian saya nekad untuk mencuba," katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Nor Amizan bagaimanapun mengakui rozel juga adalah tanaman berisiko besar apabila buah tidak menjadi seperti tahun ini dan ia sekali gus menyebabkan hasil berkurangan.

“Selepas tiga tahun memang berbaloi, saya pun dah dapat balik modal RM1,000 disebabkan dua musim sebelum ini buah menjadi dan banyak hasilnya. Tapi, biasalah pokok tanaman begini bergantung pada cuaca, jadi ada musim menjadi dan ada musim tak menjadi.

“Kalau masa musim menjadi pendapatan saya pernah cecah RM700 seminggu kalau sekali jual. Tapi, banyak beza dengan tahun ini sebab dah lima kali jual baru dapat RM600, peserta lain saya tak pasti tapi rasanya sama sahaja,” katanya.


Mohd Fadil memikul bakul berisi buah rozel untuk dikumpulkan sebelum dijual kepada Fama Rompin.


Sementara itu, Sarini Muhidin, 50, berkata, dia tinggal di kampung itu sejak 1995 dan mula menanam rozel 12 tahun kemudian sebagai usaha membantu menambah pendapatan suami, seorang pekerja kontrak di sebuah syarikat binaan.

“Waktu mula duduk di sini kami tanam keledek dan kacang bendi, sekarang pun masih buat tetapi di lot tanah lain, disebabkan ada dua lot kadang kami tukar-tukar dengan rozel.

“Pada saya projek rozel ini sangat bagus, jika diberi lebih banyak kawasan tanah kebun kami tentu akan usahakan. Sekarang ini, kalau ada waktu terluang, suami akan bantu masa proses menanam, memetik dan membuang biji,” katanya.

Sarini berkata, dia dan rakan-rakannya yang lain turut berminat untuk menghasilkan produk sendiri berasaskan rozel namun tidak mempunyai kemahiran dan peralatan sesuai yang lengkap.

“Jika ada yang mahu kami menghasilkan produk sendiri dengan memberikan latihan dan membekalkan peralatan, kami memang bersedia,” katanya.

Menurutnya, selain di Desa Murni, Kampung Tebu Hitam turut menjadi lokasi utama projek terbesar di Pahang yang mendapat sokongan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Jabatan Pertanian negeri.


0 comments:

share2