Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 7, 2017

TIDAK MAHU PROTON JADI SEPERTI PERWAJA


Tidak mahu Proton jadi seperti Perwaja


Sungai Buloh - Kerajaan menjalin kerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely), sebuah syarikat automatif terbesar China kerana tidak mahu melihat Proton menerima nasib seperti yang berlaku atas Perwaja ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha itu bertujuan berkongsi kebolehan dan kepakaran teknologi Geely untuk Proton.

“Geely adalah salah satu pengeluar kereta terkemuka di China. Syarikat tersebut mempunyai rekod jualan sebanyak 1.2 juta unit setahun dan mengeksport ke-23 negara.

“Malah, Geely turut mempunyai rekod cemerlang membantu Volvo pada 2010, berjaya menjual 534,332 unit pada 2016 berbanding jualan 335,000 unit pada 2009,” katanya pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Subang 2017 di Kelab Rahman Putra, di sini, semalam.

Johari yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, kerajaan perlu mengambil langkah tersebut bagi menyelamatkan Proton setelah melihat keluaran kenderaan itu hanya sekitar 5,000 hingga 6,000 unit sebulan, meskipun kilang di Shah Alam dan Tanjung Malim mampu mengeluarkan 400,000 unit.

“Kita tak boleh terikut sikap sentimental Mahathir yang nak pertahankan Proton 100 peratus. Kerajaan harus mencari alternatif kerana tidak mahu melihat Proton terima nasib macam Perwaja.

“Dulu Perwaja kita bertahan 20 tahun. Kerajaan beri subsidi sehingga berpuluh bilion tanpa mencari alternatif lain bagi menyelamatkan syarikat berkenaan, akhirnya Perwaja ditutup,” katanya.

Katanya, kerajaan perlu tukar strategi bekerjasama dengan syarikat lebih pakar agar produk negara setanding antarabangsa, sekali gus meningkatkan jualan di seluruh dunia.

Pada 23 Jun lalu, Geely mengambil alih 49.9 peratus ekuiti Proton dan 51 peratus saham dalam Lotus Group daripada DRB-Hicom, sekali gus menjadi rakan strategik asing syarikat kenderaan nasional itu.


0 comments:

share2