Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 25, 2017

[KUANTAN] PASAR PERCUMA TAWAR BARANGAN TERPAKAI


Pasar percuma tawar barangan terpakai


Inisiatif diambil kakitangan Syarikat BASF Petronas Chemicals dalam membantu masyarakat melalui penganjuran ‘pasar percuma’ memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan di sini.

Pasar percuma yang diadakan di Taman Gelora sempena sambutan ulang tahun penubuhan syarikat itu yang ke-20, kelmarin menawarkan pelbagai barang terpakai antaranya pakaian, peralatan elektronik dan buku.

Orang ramai yang berkunjung ke program itu tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan yang ditawarkan secara percuma dan proses agihannya dibantu sukarelawan yang juga kakitangan syarikat itu sendiri di beberapa buah gerai disediakan.

Pengarah Sumber Manusianya, Zairul Alwi berkata, penganjuran aktiviti itu diharap dapat membantu masyarakat terutamanya golongan kurang berkemampuan.

Katanya, sejak dibuka bermula jam 10.30 pagi, orang ramai berpusu-pusu memilih barangan dan pakaian terpakai yang dikumpulkan hasil inisiatif kakitangan dan beberapa pihak lain.

Menurutnya, konsep yang diperkenalkan itu secara tidak langsung dapat memupuk sikap saling membantu dan bersedekah serta menerima segala pemberian dengan hati ikhlas.

“Selain itu kita turut menganjurkan program gotong-royong menanam 300 benih pokok bakau minyak dan bakau kurap serta menjalankan aktiviti pembersihan kawasan pantai sekitarnya.

“BASF turut memberikan sumbangan barangan keperluan asas kepada 100 penerima terpilih,” katanya lagi.

Turut berlangsung pemeriksaan kesihatan secara percuma yang dijalankan Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan selain oleh kumpulan paramedik syarikat tersebut.

Sementara itu bagi pengunjung, Mohd Zainuddin Abdul Karim, 44, dari Panching di sini, dia mengetahui program tersebut menerusi aplikasi sosial WhatsApp.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, dia memilih untuk mendapatkan pakaian untuk anak-anaknya dan memuji usaha syarikat itu kerana ia satu program yang murni untuk membantu masyarakat.

Bagi seorang warga emas, Zainur Abdul Rahman, 66, dia juga tidak melepaskan peluang untuk turut memilih barangan percuma bersama orang ramai walaupun sedikit sesak.

“Saya dapat pilih anak-anak patung selain pakaian yang sesuai untuk cucu-cucu,” katanya yang memiliki 20 orang cucu setakat ini.

Manakala seorang pengasuh, Norakmal Mohamad, 32, dia datang bersama adik-beradiknya yang lain dan tidak melepaskan peluang memilih barangan sesuai dengan keperluan mereka.


0 comments:

share2