Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 16, 2017

[KUANTAN] DUA BULAN TERLANTAR BAYI PERLU BANTUAN


Dua bulan bayi terlantar perlu bantuan


Sedih melihat bayi berusia seminggu terpaksa dibedah berikutan masalah usus dialami dan kini, setelah dua bulan terlantar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Muhammad Ammar Shafin Amir, masih memerlukan bantuan alat pernafasan.

Menurut ibunya, Ana Lissa Shakila Sulaiman, 32, anak keduanya itu dilahirkan cukup bulan namun disahkan mengalami masalah usus sejak dilahirkan.

Keadaan itu dipercayai akibat komplikasi ketika dalam kandungan hingga memaksa dia dilahirkan secara pembedahan.

“Selepas lahir, doktor di HTAA bagi tahu anak saya ada masalah usus dan kena dibedah segera lepas anak tu stabil.

“Kira-kira umur dia seminggu, anak saya dibedah. Walaupun dia nampak beransur pulih, tapi kesan pembedahan, pernafasannya masih tak stabil sampai sekarang," katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Menurutnya, dalam tempoh awal anaknya dirawat dia dan suami, Amir Ibrahim, 35, seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan sejurus mendapat tahu masalah dihadapi anaknya itu.

“Memang mula-mula saya tak dapat terima kenyataan dan sedih, tapi lama-kelamaan saya dapat terima apabila dapat nasihat daripada doktor dan keluarga.

“Saya bersyukur keadaannya juga dah makin baik lepas pembedahan, Tapi saya kena bersabar dan menunggu sebab dia sentiasa dalam pemerhatian doktor.

“Minggu lepas saya dan suami dapat pegang anak kami lepas dua bulan doktor tak kasi sebab nak elak jangkitan kuman,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia empat tahun.

Sementara itu, katanya, buat masa ini dia dan suami terpaksa berulang-alik dengan menaiki motosikal dari rumahnya di Taman Agropolitan, Lepar iaitu sejauh hampir 50 kilometer.

“Doktor tak benarkan saya jaga anak, jadi terpaksa saya ulang-alik tiga kali seminggu untuk melihatnya.

“Namun hanya berbekal gaji suami RM1,200 sebulan sebagai buruh, adakala tak mampu nak tanggung kos perjalanan ulang-alik dan perubatan Ammar.

“Saya nak mohon jasa baik orang ramai dan badan korporat untuk menyalurkan sedikit bantuan kepada kami sekeluarga agar dapat mengurangkan serba-sedikit beban yang ditanggung ini,” katanya.

Justeru itu, bagi yang ingin menghulurkan sumbangan untuk kos rawatan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank, Amir Ibrahim 156235135684 atau menghubunginya di talian 010-5725990.


0 comments:

share2