Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 15, 2017

[KUANTAN] BERJAYA RANGKUL 10A TANPA TUISYEN


Berjaya rangkul 10A tanpa tuisyen


Tanpa tuisyen, Allyia Loo Zainai, 15 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih di sini membuktikan usaha kerasnya berbaloi mencatatkan 10A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan semalam.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga muncul pelajar tunggal Melayu di sekolah itu yang meraih keputusan tersebut bersama lima lagi pelajar yang mencatatkan keputusan sama.

"Saya memang tidak pergi mana-mana kelas tuisyen sebaliknya mengulang kaji di rumah dengan bantuan ibu.

"Selain itu,saya memberikan tumpuan sepenuhnya ketika guru mengajar dan rajin bertanya kalau tidak faham," katanya kepada Sinar Harian.

Anak kepada pasangan Zainai Md Desa,52 yang bekerja sebagai jurutera dan Mariana Abdullah, 49 yang bergelar suri rumah tangga itu menjadikan kejayaan kakak sulungnya yang kini menyambung pengajian di Amerika Syarikat sebagai pendorong untuk meraih keputusan cemerlang tersebut.

"Selain itu sokongan dan dorongan yang ibu bapa berikan juga menguatkan azam saya untuk berjaya.

"Sebelum ini pada percubaan saya sekadar mendapat 8A 2B.Dan paling gembira kerana berjaya mendapatkan A untuk subjek Sains kerana selama ini saya tidak pernah dapat A untuk subjek ini," katanya menyimpan hajat bergelar jurutera ataupun ahli perniagaan berjaya.

Ditanya sama ada masih kekal di sekolah itu, Allyia masih belum membuat sebarang keputusan muktamad.

Sementara itu, Zainai ketika ditemui berbangga dengan kejayaan yang dicatatkan oleh anaknya yang disifatkan rajin dan tidak mudah berputus asa.

Dia yang bekerja di Johor itu memberikan sokongan sepenuhnya terhadap Allyia untuk perancangan masa depan.


0 comments:

share2