Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 18, 2017

MEKANISME BAHARU PANTAU PAKEJ UMRAH - ZAHID




Kuala Lumpur - Kerajaan akan menimbang suatu mekanisme baharu bagi memantau pengendalian pakej umrah yang ditawarkan syarikat swasta untuk mengelak berlakunya sebarang penipuan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, katanya beliau selaku pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelancongan akan memanggil satu mesyuarat khas tidak lama lagi bagi membincangkan perkara itu termasuk menimbang supaya agensi kerajaan diberi tanggungjawab memantau pakej umrah yang dikendalikan.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) hari ini.

"Saya amat mengalu-alukan pembatalan sistem (IMAMS) kerana pihak kerajaan tidak mahu syarikat swasta mengenakan bayaran tertentu kerana ia akan membebankan mereka yang mengerjakan umrah," katanya pada sidang berita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Ke-42 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian semasa diminta mengulas pembatalan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bagi urusan visa umrah semalam, iaitu sehari selepas ia dikuatkuasakan.

Pelaksanaan IMAMS dibatalkan susulan reaksi pelbagai pihak yang berpendapat sistem itu akan mengakibatkan penambahan kos bagi mengerjakan umrah.

Semasa ditanya sama ada Kabinet dimaklumkan mengenai sistem IMAMS sebelum ini, Ahmad Zahid berkata ia hanya dimaklumkan mengenai satu mekanisme berhubung pengendalian pakej umrah oleh pihak swasta namun tidak diberitahu bahawa ia akan dikendalikan secara penyumberan luar.

"Kabinet dimaklumkan bahawa melalui satu sistem, syarikat-syarikat pengendali pakej umrah ini akan didaftarkan dan peraturan tertentu dilakukan...beberapa kaedah pemantauan juga dilaksanakan agar mereka yang sertai pakej umrah ini tidak menjadi mangsa.

"Tetapi ia tak langsung menyabit kepada pelantikan mana-mana syarikat yang mengendalikan sistem pemantauan ini, apatah lagi ia di'outsource'," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid menafikan pembatalan IMAMS adalah suatu gimik politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.


0 comments:

share2