Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 12, 2018

[BENTONG] BARU BOLEH TERSENYUM


Baru boleh tersenyum


Memahami kekangan kewangan dihadapi keluarga, seorang murid tahun dua sanggup memakai pakaian lama untuk ke sekolah pada sesi persekolahan awal Januari lalu.

Kanak-kanak lelaki, Sena Tang , 8, itu malah faham ayahnya juga tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli keperluan persekolahan yang baharu untuknya.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lentang di sini, bagaimanapun sudah mampu tersenyum apabila terpilih antara 30 penerima sumbangan kelengkapan sekolah pada Program Tumpangan Sambil Belajar Tengku Hassanal Ibrahim Shah Tengku Abdullah peringkat Bentong, di sini, semalam.

Sena berkata, dia bersyukur sumbangan diterimanya melalui program dengan kerjasama Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu Bentong (JCMB) dan pelbagai agensi juga dilihat meringankan beban kedua ibu bapanya.


Ah Wan bersama dua anaknya, Jesshua Azawarie (kanan) dan Sena yang menerima sumbangan pada Program Tumpangan Sambil Belajar Tengku Hassanal Ibrahim Shah Tengku Abdullah.


“Saya sangat seronok dan teruja sebab terpilih terima sumbangan ini dan sangat bersemangat untuk mulakan sekolah tahun ini. Lagipun bantuan ini dapatlah ringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Seorang lagi penerima, Angelina Tang, 13, berkata bantuan tersebut sekali gus menyuntik semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Pendapatan bapa tak seberapa dengan mencari hasil hutan sebab keluarga kami tak mampu untuk beli kelengkapan persekolahan yang baru.

“Saya gembira penerima sumbangan pakaian sekolah, kasut sekolah dan alat tulis ini jadi perbelanjaan untuk keperluan ini boleh guna untuk bayaran yuran sekolah,” katanya.

Bapa mereka, Tang Ah Wan, 46, berkata, dia mempunyai lima anak berumur 8 hingga 16 tahun dan kesemuanya masih bersekolah dan dia bersyukur kerana dua anaknya menerima sumbangan daripada program tersebut.

“Setiap kali sekolah nak buka memang banyak duit nak kena pakai dan saya perlu sediakan kira-kira RM200 setiap seorang. Lega rasanya, bila diberitahu dua anak saya terpilih menerima bantuan persekolahan daripada Tengku Hassanal.


Tengku Hassanal menyampaikan sumbangan sambil beramah mesra bersama pelajar yang menerima sumbangan.


“Saya amat berterima kasih kepada Tengku kerana beri sumbangan yang dapat dinikmati anak-anak untuk ke sekolah nanti. Saya harap bantuan ini diteruskan dan diperluaskan lagi supaya ibu bapa masyarakat Orang Asli lain yang lebih memerlukan berpeluang merasa bantuan sama,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini, kelmarin.

Seramai 15 pelajar sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah dari Kampung Orang Asli Sungai Miak telah menerima sumbangan kelengkapan sekolah yang turut dihadiri Pegawai Daerah Bentong, Dato' Azhar Arshad.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang Johari Alwi dan Pengerusi Pengerusi Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu Bentong (JCMB), Dato' Jasvir Singh Ram Singh.


0 comments:

share2