Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 21, 2018

[JERANTUT] SI KECIL DERITA CEDERA OTAK



Si kecil derita cedera otak



Bukan sahaja dilahirkan tidak cukup bulan, malah turut menghidap masalah tempurung kepala sempit dan kecederaan otak.

Itulah yang dihadapi Harraz Amsyar Mohd Muammar Sharqawi, 2, yang menetap di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Jerantut Feri, di sini.

Masalah itu sekali gus mengganggu perkembangan otak Harraz selain hanya mampu terlantar.

Ibunya, Asmita Tamin, 24, berkata, komplikasi yang menimpa Harraz berpunca ketika itu usia kandungannya mencecah 33 minggu, dia tiba-tiba terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira 0.5 meter ketika hendak keluar dari rumah.


Pendapatan Mohd Muammar (kiri) tidak cukup menampung kos perbelanjaan Harraz.


Bagaimanapun, hari ketiga, Asmita mendapatkan rawatan di hospital dan doktor segera melakukan pembedahan kerana bayinya perlu diselamatkan.

Lima hari kemudian, katanya kepala Harraz semakin membesar lalu doktor melakukan imbasan dan mendapati terdapat darah beku dalam kepala Harraz.

Harraz yang ketika itu dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (Hoshas) dirujuk pula ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

“Selepas dibawa ke Kuantan, saya lega kerana keadaannya semakin baik dan selepas sebulan, sudah boleh bernafas sendiri.

Bagaimanapun, katanya selepas itu, Harraz sentiasa mengalami masalah di bahagian kepalanya dan memerlukan rawatan susulan.



Kecederaan pada otak dan masalah tempurung sempit membuatkan Harraz kini hanya mampu terlantar.


Harraz difahamkan tidak mengalami masalah kesihatan lain namun hanya bergantung kepada susu formula khas, selain perlu diberikan nasi bubur dikisar halus.

“Dengan pendapatan tidak menentu suami yang bekerja di kilang perabot dengan kadar bayaran RM42 sehari tidak cukup untuk menampung membantu perbelanjaan harian,” katanya.

Suami Asmita, Mohd Muammar Sharqawi Rusli, 27, pernah dibuang kerja tahun lalu kerana kerap ambil cuti bagi membawa Harraz mendapatkan rawatan.

“Selepas dibuang kerja, kami pindah dan menetap di Jerantut sejak 10 bulan lalu,” katanya.

Lebih menyedihkan, pasangan ini juga masih mempunyai bil hospital yang tertunggak sebanyak RM400.

Gaji Mohd Muammar kira-kira RM1,100 sebulan tidak cukup menampung perbelanjaan bukan sahaja Harraz tetapi pasangan anak kembar mereka, Nuramalieya dan Nuramalisya, 6, selain turut menanggung bapa Asmita, Tumin Atas, 74, yang menghidap penyakit lelah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Asmita sekeluarga boleh menyalurkannya ke akaun Maybank milik Asmita bernombor 1560-5753-5235 atau menghubunginya di talian 019-9675794.


0 comments:

share2