Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 20, 2018

[KUANTAN] INGIN SEMBUH DAN KEMBALI BERAKSI DI PADANG



Ingin sembuh dan kembali beraksi di padang



Ibu bapa mana yang sanggup melihat anaknya yang sebelum ini aktif disahkan peyakit kanser Limforma (kanser darah) yang agresif sekali gus terpaksa melalui pelbagai lagi ujian berat melawan kesakitan.

Menurut bapanya, Azeman Md Rashid, 40, anaknya Muhammad Haziq, 13, dianggap masih muda untuk menanggung kesakitan dan perlu menjalani rawatan kimoterapi selama dua tahun.

Azeman berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka Muhammad Haziq yang pitam dan sakit dada ketika sedang bersekolah di Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras, Selangor, adalah petanda dia mengidap penyakit tersebut.

“Apabila dia sakit di sekolah dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 19 Januari lalu, doktor hanya mengesyaki terkena jangkitan paru-paru berair. Sebanyak 1.5 liter air dibuang setiap hari dari paru-parunya itu.



Azeman (kanan) bersama dua lagi anaknya hadir ke PPUM setiap minggu memberi semangat buat Muhammad Haziq yang sedang menerima rawatan kimoterapi manakala isterinya, Norhilyati (dua, kiri) menemani anaknya itu sepanjang masa.


“Selepas doktor membuat pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan)di dapati ada ketumbuhan di paru-parunya berukuran tujuh sentimeter yang menghimpit saluran pernafannya.

“Buat masa ini tidak ada sebarang pembedahan dilakukan, doktor juga hanya menasihatkan kami melakukan rawatan kimoterapi yang mengambil masa selama dua tahun melibatkan enam fasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Aanak kedua daripada tiga beradik itu, sebelum ini aktif bersama Mykids Balok dan kini, Tunas Lagenda FC di bawah pimpinan lagenda bola sepak negara, Bakri Ibni dan tidak pernah menunjukkan tanda tidak sihat malah sentiasa ceria.

“Dua minggu pertama memang dia sangat sedih dan tidak dapat menerima kenyataan bahawa mengidap penyakit tersebut. Saya dan isteri, Norhilyati Puteh, 35, cuba juga memujuk diri dan akhirnya dapat menerima ketentuan Allah SWT dengan hati terbuka.

“Setelah sebulan melalui detik getir itu, saudara-mara, rakan-rakan sekolah dan futsal, guru-guru dan jurulatih serta beberapa pihak seperti Asrto yang pernah membawanya ke sebuah program bola sepak di Bacelona, beberapa tahun lalu hadir dan tidak putus memberikan semangat dan harapan buatnya.

“Kini dia semakin bersemangat malah sejak membuat rawatan kimoterapi fasa pertama ini, dia yakin untuk sembuh dan berhasrat kembali bermain bola bila tiba masanya nanti,” katanya.

Sementara itu, katanya, kini terpaksa berulang alik dari Kuantan ke PPUM setiap hujung minggu atau cuti terluang bersama dua orang lagi anaknya yang masih bersekolah di Balok, di sini.

“Saya hanya bekerja sebagai kerani logistik di sebuah syarikat di Gebeng, manakala isteri pula suri rumah sepenuh masa. Berat juga apabila dalam keadaan begini memerlukan perbelanjaan tinggi bukan sahaja untuk urusan rawatan yang menelan ribuan ringgit, malah berpelanjaan lain.

“Harapan untuk melihat Muhammad Haziq dapat kembali sihat dan membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain adalah sangat tinggi,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu kanak-kanak ini boleh membuat sumbangan melalui akaun Maybank Azeman Md Rashid 156169298021 atau mengubungi ditalian 019-9624213.


0 comments:

share2