Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 21, 2018

[KUANTAN] KAMI CUBA BANTU, TAPI TAK DAPAT



Kami cuba bantu, tapi tak dapat



“Keadaan ketika itu sangat kelam kabut apabila salah seorang daripada kami hampir lemas," kata Azwan Mohamad, 21, adik bongsu kepada salah seorang mangsa lemas di Taman Eko Rimba Berkelah, dalam kejadian petang semalam.

Azfar Mohamad, 22, ditemui lemas bersama seorang lagi mangsa, Mohamad Shah Faris Shahrin, 22.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa ditemui lemas awal pagi semalam selepas mandi di tingkat tujuh air terjun tersebut.

Menurut Azwan, kira-kira jam 3 petang kelmarin, Allahyarham Mohamad Shah Faris sedang berenang di kawasan kolam air terjun itu sebelum secara tiba-tiba terkapai meminta pertolongan.
“Kami semua segera cuba membantunya dengan pelbagai usaha tetapu gagal sebelum abang terjun dan cuba menyelamatkannya.

"Bagaimanapun, abang juga tidak timbul selepas cuba menyelamatkan Shah Faris. Kami panik dan naik ke permukaan,” katanya yang masih trauma dengan tragedi itu.


Azwan


Menurutnya, mereka bertolak dari Pandamaran, Selangor kira-kira jam 6 pagi kelmarin dengan menaiki dua kereta sebelum tiba kira-kira jam 1 tengah hari di pusat rekreasi itu.

Katanya, mereka tidak merancang untuk pusat itu namun selepas mencari dalam internet, mereka memutuskan untuk ke hutan lipur berkenaan. “Sebelum bertolak, arwah abang beberapa kali memberitahu dia tertinggal barang, namun kami tidak mengendahkan.

“Sebaik tiba di lokasi, kami meredah hutan dan pendakian selama hampir tiga jam sebelum mengambil keputusan untuk mandi,” katanya katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam.

Sementara itu, rakan mangsa, Muhammad Saiful Ikhmal Hamdan, 22, berkata, seorang rakan mereka juga nyaris lemas ketika cuba menyelamatkan dua mangsa terbabit sebelum dia sempat ditarik keluar oleh beberapa rakan yang lain.

“Keadaan berlaku dengan begitu pantas menyebabkan kami menjadi panik dan cuba menyelamatkan mereka tanpa menyedari risiko pada diri kami,” katanya.

Alia Nadira Shahrin, 29, yang merupakan kakak sulung kepada Mohamad Shah Faris berkata, dia mengetahui kejadian itu lewat petang kelmarin selepas dihubungi salah seorang yang mengikut perkelahan berkenaan.

Katanya, kali terakhir berjumpa dengan adik bongsunya adalah pada Rabu lalu.

“Tiada perubahan ketara cuma saya lihat dia sedikit diam dan banyak termenung. Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.


0 comments:

share2