Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 20, 2018

[PEKAN] WUJUD PUSAT RAWATAN JANTUNG PANTAI TIMUR



Hilmi Yahaya



Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan cadangan kerajaan Pahang untuk membina sebuah pusat rawatan jantung di kawasan seluas lapan hektar di Tanjung Lumpur di sini, untuk kemudahan pesakit khususnya dari Pantai Timur.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kementerian sedang meneliti perkara itu dan akan melaksanakannya secepat mungkin agar dapat memberi kemudahan kepada pesakit dari Zon Timur supaya mereka tidak perlu ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk mendapatkan rawatan.

"Setakat ini, pusat rawatan jantung komprehensif untuk pesakit di Terengganu, Kelantan dan Pahang masih belum ada, yang ada pun di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), tetapi hospital milik kerajaan belum ada.

"Di Pahang, kita hanya mempunyai Unit Kardiotorasik dan Kardiologi beroperasi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang mengendalikan 600 kes melibatkan pembedahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Pahang Peringkat Zon Timur di Dewan Canselari Sultan Haji Ahmad Shah DRB-Hicom Universiti, di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Pahang Dato' Sri Norol Azali Sulaiman serta Pengarah Kesihatan negeri Dr Sha'ari Ngadiman.

Mengulas lanjut, Dr Hilmi berkata, unit sedia ada itu tidak dapat menampung jumlah pesakit yang ramai selain peralatan kurang lengkap menyebabkan pasukan perubatan di unit berkenaan berhadapan kesukaran untuk melaksanakan tugas.

Menurutnya, pusat rawatan jantung baharu itu sedang dipertimbangkan untuk dibina bersebelahan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuantan yang sudah diluluskan pembinaannya oleh kerajaan pusat dengan kos RM500 juta, dan boleh memuatkan 300 katil.

Pada majlis itu, Dr Hilmi turut menyerahkan sumbangan RM270,000 kepada enam Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan 42 Panel Penasihat Klinik Kesihatan di Zon Timur untuk kelangsungan program serta aktiviti mereka bersama masyarakat.


0 comments:

share2