Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 23, 2018

DAP - PENGORBANAN ATAU PENIPUAN?



KITA perlu ucap tahniah kepada Tan Seng Giaw yang sanggup hilang jawatan dan kerusi demi integriti k




Minggu ini saya ingin menulis mengenai penipuan dan sandiwara politik Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP yang tidak mengenali batasan dan sempadan. Kalaulah kita mengikut telunjuk dan cerita pemimpin-pemimpin PH khususnya DAP, ramai pemimpin mereka hari ini perlu dipenjarakan.

Ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN), Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersalah kerana melindungi Tun Dr. Mahathir Mohamad , Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Datuk Seri Rafidah Aziz dan lain-lain kerana tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin PH ini.

Itulah logik DAP yang pernah berjanji akan memenjarakan Dr. Mahathir sekiranya mereka berkuasa nanti. Janji-janji ini telah ditaburi Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng kepada pengundi dalam pilihan raya lepas.

Kalau dahulu mereka menuntut Dr. Mahathir ditangkap, dihadapkan ke mahkamah dan dipenjarakan, tetapi kini mereka pula mahu kembalikan Dr. Mahathir sebagai perdana menteri. Aneh tapi tidak pelik. Inilah politik mengarut dan lintang-pukang DAP dan pembangkang semata-mata kerana nafsu ingin merampas kuasa dari BN.

Maka semua pemimpin BN sekarang dituduh dengan pelbagai kesalahan salahguna kuasa dan amalan rasuah. Apatah lagi kini Kit Siang sudah begitu angkuh dan berpengaruh sehingga berani berjanji mahu penjarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan melepaskan Anwar Ibrahim dan anaknya Lim Guan Eng dari sebarang tuduhan.

Keangkuhan dan kebiadapan pemimpin-pemimpin DAP inilah yang menyebabkan ramai orang Melayu dalam Pas tidak dapat bertahan dengan kesombongan serta kerenah DAP semasa mereka bersekongkol bersama.

Kebiadapan DAP begitu melampau sehingga mereka tidak membenarkan ahli mahupun pemimpin pembangkang menyatakan fakta atau menegakkan kebenaran. Apabila bekas Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan keputusan jawatankuasa mengenai isu syarikat 1MDB, iaitu PAC setelah siasatan yang teliti mendapati tiada kesalahan boleh dikaitkan secara langsung kepada Perdana Menteri, beliau telah dituduh dengan pelbagai panggilan yang mengaibkan.

Ahli Parlimen Kepong selama lapan penggal itu telah dituduh pula sebagai “anjing suruhan” BN. Seng Giaw cuma menegakkan kebenaran bahawasa setelah siasatan dikendalikan oleh PAC, bukti-bukti menunjukkan kesalahan ditahap eksekutif langsung tidak boleh dikaitkan kepada pengerusi.


Bersekongkol

Kesanggupan atau keupayaan pembangkang membuat fitnah, tohmahan dan berita palsu adalah satu tindakan terdesak dan untuk merampas kuasa dan Putrajaya. Maka budaya politik PH adalah semata-mata memperalatkan kebebasan media baru dan bekerjasama dengan media asing untuk mensensasikan berita palsu dan memfitnah kerajaan secara berterusan dan konsisten.

Oleh kerana mereka berjaya dengan taktik buang batu sembunyi tangan, mereka semakin berani bertindak sehingga menyasarkan pucuk pimpinan. Najib dan keluarga menjadi sasaran berita palsu yang bertalu-talu sehingga institusi kepimpinan negara dan jawatan perdana menteri diperlekehkan dan dipersendakan secara keterlaluan melalui fitnah dan berita palsu yang diviralkan.

Untungnya kita mempunyai tokoh pembangkang yang masih sedar tentang batas-batas dalam politik.

Maka kita perlu ucapkan tahniah dan berdoa supaya pemimpin seperti Seng Giaw yang tidak sanggup mengorbankan diri dalam usia lanjutnya untuk terus bersekongkol dengan penipuan DAP dan PH ini yang langsung tidak mengenal batasan. Mungkinkah Seng Giaw sendiri sudah muak dan tidak sanggup mengikut budaya politik DAP yang penuh fitnah, tohmahan dan kepalsuan.

Namun lain pula cerita mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir yang rela memilih untuk bersama dan menjayakan agenda DAP dalam bersekongkol merampas Putrajaya. Dr. Mahathir sanggup mengorbankan maruah diri dengan terlibat dalam politik penglipur lara DAP berhubung isu 1MDB yang sehingga kini telah diberi penjelasan berulang kali oleh kerajaan.

Segala skandal dan salah laku sepanjang 22 tahun pemerintahan Dr. Mahathir telah ditutup begitu sahaja tanpa siasatan atau penjelasan umum.

Budaya penipuan PH termasuk melalui manifesto mereka hanya untuk mengelirukan rakyat. Dr. Mahathir sendiri mengakui janji untuk menghapuskan tol adalah janji kosong yang tidak boleh ditunaikan. Seperti kata beliau, ini adalah tuntutan parti sosialis DAP yang cuma mahu meraih undi semata-mata.

Jadi Dr. Mahathir setuju menutup sebelah mata dan menanggung dosa menipu rakyat dan pengundi mungkin sebagai pengorbanan dirinya yang terakhir demi politik. Dalam usia lanjut sebegitu yang sepatutnya menumpu pada usaha menebus dosa-dosa lepas namun beliau memilih mengorban diri demi DAP.

Lain pula jika dilihat manifesto BN dalam PRU lepas yang berjaya ditunaikan dengan prestasi pencapaian sebanyak 99.4 peratus. Malangnya Dr. Mahathir telah terpengaruh dengan budaya politik DAP. Dr. Mahathir juga sanggup menipu dalam isu penutupan The Loaf, kedai roti mewah kepunyaan beliau.

Kononnya kerugian perniagaan beliau itu disebabkan oleh kegagalan pentadbiran Najib. Malah Dr. Mahathir sanggup menipu dengan menafikan bahawa The Loaf bukan kepunyaan beliau. Akhirnya, pendaftaran pemilikan saham The Loaf itu pun turut diletak kesalahan kepada Najib? Atau apakah pemilikan saham itu didaftar atas nama beliau tanpa disedari?

Hakikatnya, penipuan demi penipuan PH dilakukan semata-mata kerana mahu merampas kuasa dan juga demi membolehkan Dr. Mahathir berkuasa semula. Beliau begitu terdesak dan terpaksa bersekongkol dengan musuh ketatnya selama ini iaitu DAP, Kit Siang dan Anwar Ibrahim walaupun kredibiliti dan ketokohannya sudah hilang di mata rakyat.

Kit Siang pula sanggup mematahkan logo roket dan menggunakan logo "mata lebam” yang juga umpama satu peringatan tentang kezaliman pemerintahan Dr. Mahathir. DAP bukan kira sangat pada pencalonan Dr. Mahathir sebagai perdana menteri. Yang penting, DAP menggunakan taktik ubah logo ini untuk merampas Putrajaya dengan memperalat tokoh Melayu, bertopengkan “mata lebam” kerana terdesak mahu undi Melayu.

Sekali gus DAP meminjam undi Melayu dari PH untuk menghapuskan MCA dan Gerakan sebelum bertindak jauh dengan menggunapakai strategi pecah dan perintah dalam kalangan parti Melayu melalui UMNO, Pas, PAN dan PBBM selepas ini.

* Penulis adalah Ahli jawatankuasa Pusat MCA.


0 comments:

share2