Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 9, 2021

UMNO TUNJANG PERJUANGAN ORANG MELAYU DAN ISLAM” - TENGKU AZLAN ISTIHAR TINGGALKAN BERSATU SERTAI UMNO


 Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Tengku Azlan Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’Muazzam Shah atau lebih di kenali dengan panggilan Ku Lan telah mengambil keputusan untuk keluar dari parti Bersatu dan menyertai UMNO.

Beliau juga mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ketua BERSATU Bahagian Temerloh berkuatkuasa serta merta. Pengumuman beliau itu di saksikan oleh YAB Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang Dato Sri’ Wan Rosdy Wan Ismail di Kuala Lumpur hari ini.
“Saya membuat keputusan untuk memilih kembali ke pangkuan parti UMNO yang begitu lama saya sertai sebelum ini kerana saya yakin dan percaya parti UMNO merupakan sebuah parti yang menjadi tunjang kepada perjuangan orang Melayu dan Islam”.
“Saya menyokong penuh pendirian YAB Menteri Besar selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang dalam isu perlembagaan baru-baru ini yang mana telah menimbulkan kesan dikalangan rakyat negara kita. Sebagai rakyat Malaysia kita mesti mempertahankan perlembagaan negara tanpa mengira fahaman politik".
“Kita seharusnya mendokong Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan berdasarkan apa yang telah termaktub dalam Rukun Negara. Sesungguhnya Perlembagaan Negara adalah sebuah institusi tertinggi dalam negara kita” , kata YAM Tengku Azlan Sultan Abu Bakar .
Tengku Azlan merupakan juga adinda kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jerantut selama tiga penggal dari 1999 hingga 2013 dan Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2004 hingga 2008.
Beliau telah menyerahkan borang keahlian UMNO kepada YAB Menteri Besar Pahang Dato Sri' Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang dan memilih untuk menjadi ahli UMNO Bahagian Paya Besar.

Read more »

Wednesday, December 9, 2020

KERAJAAN NEGERI PERAK: AHMAD MASLAN OPTIMIS UMNO, PAS & BERSATU AKAN BERSAMA




Setiausaha Agung (SUA) UMNO, Ahmad Maslan optimis dan positif bahawa pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu adalah terdiri daripada UMNO, PAS dan juga Bersatu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian pada Selasa tengah hari telah menyerahkan sendiri surat rasmi UMNO kepada SUA PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan SUA Bersatu, Datuk Hamzah Zainuddin berhubung keputusan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam sebelumnya.

Mesyuarat tersebut memutuskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak yang sebelum ini terdiri daripada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari ketiga-tiga parti tersebut hendaklah dipertahankan.

Jelas Ahmad lagi, kedua-dua rakan sejawatannya telah menjawab surat beliau itu di sebelah petang 8 Dis.

“Intipati jawapan surat SUA PAS dan SUA PPBM (Bersatu) ialah keputusan berhubung Kerajaan PN di Perak akan dibincang dengan pimpinan parti mereka dengan segera.

“Saya optimis dan positif. Semoga PAS dan PPBM akan bersama UMNO di Perak. Diharap segalanya akan selesai dengan baik dalam sedikit masa lagi,” ciapnya di Twitter.

Kemelut politik Perak tercetus pada Jumaat lepas selepas pembentangan usul ‘keyakinan ADUN terhadap menteri besar’ yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kehilangan sokongan majoriti ADUN.

Menerusi usul semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Ahmad Faizal meletak jawatan sehari kemudian.

DUN Perak merangkumi 25 BN, Dap (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Read more »

ISU PENJUALAN ASET THP: PEMUDA UMNO AKAN TERUS PANTAU, BERSUARA







“Walaupun kerajaan umumkan penarikan balik kelulusan penjualan aset-aset ladang THP (Tabung Haji Plantation) ini atas alasan “untuk diteliti dengan lebih lanjut”, kami Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan memantau dan meneliti dengan dekat perkembangan sama ada transaksi ini bakal diteruskan juga pada masa akan datang.”

Demikian tegas Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung keputusan kerajaan yang telah mengumumkan untuk menarik balik keputusan penjualan aset ladang hartanah THP kepada Syarikat Tamaco Plantation Sdn. Bhd.

“Sejujurnya, kami masih berwaspada kerana daripada maklumat yang kami dedahkan sejak sebelum kejatuhan Kerajaan PH (Pakatan Harapan) pada bulan Januari 2020, THP telahpun menerima bayaran pendahuluan yang besar daripada penjualan tersebut setelah diumumkan di Bursa Malaysia.

“Justeru, bagi pihak rakyat dan pendeposit TH (Tabung Haji), insya-Allah kami akan terus memantau dan bersuara,” komen Dr Asyraf di dalam satu status Facebooknya mengenai perkara demikian.

Di dalam statusnya itu, Dr Asyraf turut mengimbas kronologi bagaimana pihaknya bersuara membantah penjualan aset tersebut.

24 Januari 2020 – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendedahkan transaksi mencurigakan penjualan lambak aset ladang THP pada harga jauh di bawah nilai pasaran.

24 November 2020 – Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan penjualan tanah ladang milik THP kepada Tamaco Plantation Sdn. Bhd.

30 November 2020 – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menghantar Memorandum kepada tiga menteri iaitu Datuk Seri Dr Dzulkifli Al Bakri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Azmin Ali sebagai jalan terakhir bagi menzahirkan bantahan dan mengharapkan kerajaan dapat menarik balik keputusan untuk meneruskan penjualan tersebut.

8 Disember 2020 – Pemuda UMNO keluarkan kenyataan membantah buat kali terakhir.

Semalam, Pemuda UMNO mendesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar segera campur tangan menghentikan penjualan ‘luar tabii’ oleh Pengurusan THP yang merupakan lantikan Kerajaan PH terdahulu.

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga amat kecewa dengan pendedahan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Panglima Azeez Rahim di Dewan Rakyat pagi semalam bahawa EPU, Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan penjualan aset tanah ladang kelapa sawit milik THP kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd dengan harga RM170 juta melalui sepucuk surat bertarikh 24 November 2020.

Read more »

POLIS PAHANG KEKALKAN SJR HARIAN






Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang mengekalkan Sekatan Jalan Raya (SJR) sedia ada di semua daerah negeri ini bagi tujuan Ops Benteng dan Ops Cegah Jenayah.

Ketua Polis Pahang Dato' Sri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya turut menempatkan 119 pasukan pemantau berpakaian uniform dan biasa di tempat-tempat pelancongan bagi memperkasakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurutnya, walaupun kerajaan telah membenarkan rentas negeri tanpa permit polis, namun SJR harian masih dikekalkan di negeri ini dengan melibatkan 15 ke 18 SJR sehari bagi tujuan pencegahan jenayah dan cegah kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan jumlah keanggotaan antara 152 hingga 160 orang.

"Tujuan kita teruskan sekatan ini bagi membolehkan pihak polis memberi maklumat terus kepada orang ramai mengenai kes Covid-19 di Pahang termasuk lokasi yang mencatat peningkatan kes.

"Pasukan pemantauan akan perkenalkan diri mereka dan orang ramai juga berhak bertanya kad penguasa," katanya.

Majlis penyerahan replika cek sumbangan yayasan kepada guru besar SKJ (China) Pei Chai Kuantan, Lim Loke Fong (lima dari kanan).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Penyerahan Replika Cek Bantuan RM20,000 dan alat bantuan mengajar Smartboard kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (China) Pei Chai Kuantan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Pahang, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Aziz Salleh yang juga Naib Pengerusi 1 Yayasan itu; Naib Pengerusi Kanan Yayasan, Tan Sri Lee Lam Thye dan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Chong Chin Fung

Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata sejumlah 17 premis dikompaun kerana tidak mematuhi SOP seperti penyukat suhu dan manual buku atau MySejahtera atau goPahang.

PDRM Pahang menggerakkan 119 pasukan pemantau dengan 1,913 pemantauan di seluruh Pahang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Beliau turut menasihatkan agar orang ramai yang ingin melaksanakan percutian akhir tahun untuk mematuhi SOP.

"Jika datang ke tempat dikenalpasti berlaku penularan Covid-19 tolong elakkan dan pastikan tidak membawa orang tua atau bayi. Tolong fikirkan pandangan pihak keselamatan agar menangguhkan percutian ke lokasi pandemik," katanya.

Read more »

Tuesday, December 8, 2020

MESYUARAT UMNO BAHAGIAN, WANITA, PEMUDA DAN PUTERI SERENTAK PADA 1, 2 DAN 3 JAN 2021






Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO hari ini telah memutuskan bahawa tarikh untuk Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri adalah pada 1, 2 dan 3 Januari 2021 (Jumaat, Sabtu dan Ahad).

Katanya, ianya akan diadakan secara serentak di 191 Bahagian dan akan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing.

“Untuk kawasan PKPB dan PKPD bolehlah diadakan secara maya. Kehadiran adalah secukup korum iaitu satu perempat daripada jumlah wakil yang berhak hadir.

“Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pada 30 Januari 2021 (Sabtu) dan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari 2021 (Ahad). Ianya akan diadakan di PWTC dengan kehadiran yang terhad dan juga akan dibuat secara maya,” katanya dalam kenyataan media semalam.



Read more »

Wednesday, November 11, 2020

TRADISI BN BELA RAKYAT






Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menyokong penuh cadangan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Pekan, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di dalam perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 (Bajet 2021) di Dewan Rakyat, di sini semalam.

Katanya, Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang diutarakan oleh Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) itu telah meletakkan dua syarat utama untuk menyokong Belanjawan 2021.

“Kerajaan meluluskan Pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 One-Off.

“Kerajaan melanjutkan moratorium secara pukal enam bulan lagi sehingga 30 Jun 2021,” katanya dalan hantaran Facebook, semalam.

Tambah Dr Najmil lagi, kedua-dua tuntutan ini adalah perkara utama yang diperlukan rakyat Malaysia bukannya bajet yang besar untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Justeru katanya lagi, pada saat ini rakyat semakin mengeluh dan terkesan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan hampir di seluruh negara.

“Rakyat semakin tertekan hari ini… lebih-lebih lagi apabila PKPB dilaksanakan hampir di seluruh negara. Kita perlukan Bajet yang inklusif seperti ini bukannya Belanjawan yang ‘cukup makan’.

“Terima kasih Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyampaikan keluhan rakyat. Semoga tuntutan ini dipenuhi kerajaan PN,” tegasnya.

Read more »

NAJIB GESA KERAJAAN MESTI BANTU RAKYAT, CADANG TIGA CARA KWSP TINGKATKAN PENDAPATAN

  




Kerajaan perlu pertimbangkan cadangan ramai pihak agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan membuat pengeluaran sehingga RM10,000 secara ‘one-off’ dari Akaun 1 dan melanjutkan moratorium pinjaman secara pukal.

Ahli Parlimen Pekan, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak berkata dana yang digunakan tidak termasuk dalam perbelanjaan kerajaan atau pengiraan defisit negara.

Katanya, dana tersebut amat diperlukan untuk menambah kitaran wang dalam ekonomi dan pada masa yang sama perbelanjaan kerajaan yang terhad untuk membantu rakyat yang amat terdesak dan terkesan pada masa kini.

Jelas Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) itu lagi, wang yang dikeluarkan oleh pencarum pada masa ini mampu dipulihkan dengan sokongan kerajaan dalam masa beberapa tahun dan masa hadapan selepas krisis COVID-19 berlalu.

“Tanggung jawab kerajaan bukan untuk menafikan pencarum, mengakses wang milik mereka sendiri pada masa paling terdesak.

“Fokus kerajaan pula adalah mencari jalan untuk memulihkan dan memastikan pencarum dengan baki simpanan yang rendah dapat menambah simpanan mereka dengan kadar yang paling cepat. Supaya waktu mereka bersara nanti simpanan di dalam Akaun 1 akan mencukupi,” kata Najib ketika sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 (Bajet 2021) di Dewan Rakyat, semalam.

Tambah Najib, KWSP mampu meningkatkan pendapatan melalui tiga cara.

“Perkara ini boleh dilakukan dengan tiga cara. Pertama, selepas COVID-19 kerajaan boleh membantu KWSP meraih pendapatan yang lebih dengan memberi projek-projek yang lebih lumayan kepada KWSP. Sebagai contoh projek sebelum ini projek KWASA atas tanah Lembaga Getah Malaysia, Battersea di United Kingdom serta pemilikan 46 peratus dalam syarikat PLUS.

“Kedua, menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum selepas krisis COVID-19 tamat.

“Ketiga, mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur berperingkat atau ‘multi-tier dividend structure’ di mana simpanan yang lebih rendah akan terima dividen yang lebih tinggi supaya pembahagian keuntungan KWSP akan lebih memihak kepada pencarum yang mempunyai baki simpanan yang rendah. Dengan ini simpanan masa tua pencarum yang terpaksa mengeluarkan wang secara ‘one-off’ dari Akaun 1 dapat dipulihkan dalam masa terdekat,” katanya Perdana Menteri Keenam itu.

Seterusnya, Najib juga yakin tidak semua pencarum akan mengeluarkan jumlah maksima.

“Kemungkinan jumlah yang diperlukan adalah RM20 bilion atau RM30 bilion. Saya percaya jumlah ini mampu disediakan oleh KWSP tambahan lagi Bank Negara boleh membeli bon-bon kerajaan yang dimiliki oleh KWSP.

“Kita bukan mahu memaksa KWSP untuk mencairkan aset ekuiti pada masa nilai aset rendah. Secara tidak langsung menambah wang dalam kitaran atau ‘money circulation’ dalam ekonomi agar pekerjaan dapat diselamatkan dan ekonomi dapat dirancakkan dengan penambahan permintaan ini, merupakan keutamaan kita,” katanya.

Dalam pada itu Najib turut berharap moratorium akan dipanjangkan secara pukal sehingga enam bulan.

“Pinjaman moratorium dipanjangkan secara pukal sehingga enam bulan perlu dipertimbangkan sehabis baik oleh kerajaan.

“Kalaulah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) boleh dilanjutkan berkali-kali dan ini akan menjejaskan pendapatan rakyat, kenapa pula moratorium tak boleh dilanjutkan secara ‘automatik’ dan pukal sekali lagi. Sedangkan bank-bank masih meraih keuntungan yang besar,” katanya lagi.

Ini kerana ujarnya, kebanyakan bank memberi moratorium kepada B40 dan golongan M40 merasa terpinggir sedangkan mereka juga merasa kesukaran dalam krisis pandemik COVID-19.

“Malah rata-rata golongan M40 menyuarakan ketidakpuasan mereka bahawa bajet ini tidak banyak memberi manfaat kepada mereka. Takkan kerajaan nak tunggu M40 berubah menjadi B40, baru mereka diberi moratorium, ” tegasnya lagi.

Begitu juga Najib mencadangkan agar inisiatif moratorium perlu dipanjangkan kepada peminjam termasuk dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN untuk tempoh enam bulan akan datang sehingga 30 Jun 2021.

Read more »

Tuesday, November 10, 2020

PAHANG AMBIL BERAT KEBAJIKAN BEKAS KAKITANGAN JASA








Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berjaya mengambil pendekatan lebih bijaksana dalam membantu kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Negeri Pahang yang kehilangan pekerjaan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat, Wan Rosdy mengambil berat dan memikirkan masa depan bekas kakitangan Jasa yang teraniaya dengan mengambil mereka berkhidmat dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, Wan Rosdy tetap meneruskan pendekatan tersebut walaupun terpaksa berdikari dari aspek kewangan kerana tidak mendapat bantuan yang sewajarnya daripada kerajaan PH ketika itu.

"Begitulah hebatnya sikap prihatin seorang pemimpin besar terhadap nasib rakyat di bawahnya termasuk dalam membela kakitangan Jasa yang terkesan ekoran perubahan kerajaan selepas PRU14.

"Ternyata kerajaan negeri lebih dahulu membantu mereka sejak dua tahun lalu," katanya melalui kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Beliau melontarkan pandangan dalam konteks negeri Pahang itu di sebalik pelbagai reaksi berhubung peruntukan RM85 juta yang disalurkan kerajaan kepada Jasa dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini.

"Masing-masing ada pandangan dan hujah sendiri namun saya tidak berhasrat menghakimi pandangan itu sebaliknya lebih untuk mengulas perkara ini dalam konteks Pahang," katanya.

Beliau berkata, ada yang mendakwa peruntukkan kepada Jasa itu terlalu besar sehingga melebihi peruntukan untuk petugas barisan hadapan.

"Justeru, mereka mendesak kerajaan membuat penjelasan lanjut bagaimana peruntukan itu akan dibelanjakan.

"Tidak kurang yang memberi reaksi positif dengan melihat peruntukan itu amat perlu bagi pengambilan kakitangan baharu, penyediaan prasarana digital, pelaksanaan latihan dan modul yang lebih komprehensif serta bagi menampung kos operasi Jasa.

"Malah, mereka juga berpandangan jumlah peruntukan itu tidak perlu dipersoal kerana selama ini tiada yang memikirkan kebajikan kakitangan Jasa yang hilang pekerjaan di zaman pemerintahan PH," katanya.

Read more »

BELANJAWAN 2021: 'RUMAH SUDAH SIAP TETAPI PAHAT TETAP BERBUNYI'






Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar melihat selepas empat hari Belanjawan 2021 dibentangkan ianya seperti ‘rumah sudah siap tetapi pahat tetap berbunyi’.

Katanya, jumlah peruntukan yang ditawarkan sangat besar tetapi masih tidak memenuhi kemahuan sebilangan besar rakyat Malaysia.

Tambahnya juga, antara yang hangat dibincangkan oleh rakyat ialah soal pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lanjutan moratorium dan bajet besar untuk JASA.

“Saya yakin kemarahan rakyat bukannya kerana soal politik kepartian atau soal siapa perdana menteri. Juga bukan soal untuk memancing undi.

“Mereka lahirkan kekecewaan kerana mereka sedang menghadapi kesusahan. Mereka perlukan kewangan tambahan untuk meneruskan kehidupan.

“Mereka perlukan pertolongan untuk menyara keluarga. Mereka hilang pendapatan. Mereka benar-benar terhimpit,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Rizalman lagi, situasi yang berlaku itu bukan atas kemahuan rakyat tetapi keadaan memaksa mereka sehingga terpaksa meminta-minta.

“Mereka merayu kepada orang yang memegang kuasa,” ujarnya.

Justeru Rizalman menyeru kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar mendengar suara rakyat.

“Kepada perdana menteri, dengarlah suara mereka, bantulah mereka.

“Kasihanlah kepada mereka. Mereka yang terkesan jumlahnya sangat ramai. Mereka benar-benar berharap,” gesanya lagi.

Read more »

MAAHAD TAHFIZ, SEKOLAH PONDOK DIBENAR BEROPERASI DI PAHANG







Kerajaan negeri Pahang hari ini memutuskan untuk membenarkan maahad tahfiz dan sekolah pondok di negeri ini terus beroperasi secara bersyarat, iaitu pelajar tidak dibenarkan keluar dari kawasan pusat pengajian mereka.

Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu tenaga pengajar dari luar Pahang khususnya yang datang dari kawasan zon merah wabak koronavirus (Covid-19), dilarang untuk kembali mengajar di pusat pengajian agama di negeri itu untuk sementara waktu.

“Keputusan ini adalah bergantung kepada keadaan. Jika terdapat kes jangkitan baharu dilaporkan di sekolah pondok atau maahad tahfiz terlibat, maka arahan berhenti operasi akan dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.


Wan Rosdy berkata langkah itu merupakan langkah awalan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Pahang, walaupun negeri ini buat masa ini tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti negeri lain.

Menteri Kanan (Kluster Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah kementerian itu, ditutup mulai hari ini sehingga tahun hadapan sebagai langkah memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Arahan itu turut terpakai bagi sekolah di negeri-negeri tidak dikenakan PKPB iaitu Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak.

Selain itu, Wan Rosdy berkata pasukan keselamatan dengan diketuai pihak polis akan meningkatkan sekatan jalan raya di lokasi-lokasi terpilih mulai Rabu ini, bagi menyekat tindakan rentas negeri terutamanya dari zon merah ke Pahang.

“Bagaimanapun, polis masih mempunyai budi bicara dan memberi kelonggaran mengikut kes tertentu seperti kecemasan dan kematian. Kita berharap orang ramai dapat memahami tindakan ini bukan mahu menyusahkan, namun sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Read more »

Saturday, November 7, 2020

[KUANTAN] 60 ORANG MENERIMA SUMBANGAN AWAL SEMPENA DEEPAVALI


Seramai 60 orang penerima sekitar Dun Teruntum, Parlimen Kuantan menerima bantuan awal sempena sambutan Deepavali. 

Majlis penyampaian bantuan yang diadakan di Balairaya Kg.Tengah/Kg Jawa itu disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Kuantan merangkap Pengerusi Barisan Nasional Kuantan Dato' Sri Ab Hamid Nazahar.
Turut sama hadir pada majlis berkenaan Ketua MIC Bahagian Kuantan R. Rajan, Naib Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Encik Nara Nikman@Nordin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan saudara Md Jamil Bin Pauzi.

Penerima - Penerima yang ditemui rata:rata bergembira dan berterima kasih atas bantuan yang diberikan. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu persiapan menjelang Deepavali minggu hadapan..

Pengerusi Barisan Nasional Kuantan Dato' Sri Ab Hamid Mohd Nazahar berkata program sebegini selalu diadakan apabila menjelang sebarang Perayaan dan bantuan-bantuan sebegini akan terus diadakan pada masa akan datang. 

Read more »

[lLIPIS] 154 ORANG TERIMA KUNCI AWAL RUMAH PR1MA PAHANG

 




Pada pagi tadi, Seramai 154 orang telah menerima awal kunci rumah bagi Projek PR1MA Pahang Kuala Lanar, Lipis.

Untuk projek ini, PR1MA Pahang bermatlamat untuk membina rumah berkembar setingkat berharga RM150,000 sebuah dengan keluasan 2,800 kaki persegi dan keluasan binaan 1,000 kaki persegi. 

Selain daripada PR1MA Pahang, Kerajaan Negeri turut melaksanakan projek Rumah Makmur Pahang dan Rumah Rakyat Pahang bagi memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Turut sama hadir ialah YB Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Dato' Sri Abdul Rahman Bin Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis.

Serta turut sama hadir ialah barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, YB. Dato' Abd Rahim bin Muda dan juga YB. Dato' Abd Aziz bin Haji Mat Kiram.

Read more »

[KUALA LIPIS] PENJENAMAAN SEMULA JALAN SILANG KEPADA JALAN TAN SRI ABDUL RAZAK






Pada pagi tadi, YAB Menteri Besar Pahang telah menghadiri Majlis Penjenamaan Semula Jalan Silang Kepada Jalan Tan Sri Abdul Razak di Laluan Kedai Tangga, Kuala Lipis.

YAB Menteri Besar Pahang berkata, penamaan semula nama Jalan Silang ini tidak lain hanyalah bagi memperingati jasa-jasa Allahyarham Tan Sri Abdul Razak sebagai pempimpin di daerah Lipis ini.

Selain itu, bagi kemudahan orang ramai, YAB Dato' Sri Wan Rosdy telah meluluskan peruntukkan untuk menaik taraf laluan kedai.

Turut sama hadir pada majlis berkenaan Exco Kerajaan Negeri, merangkap ADUN Benta YB. Dato' Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang.

Semoga dengan penamaan semula nama jalan ini akan menjadi tarikan para pelancong untuk mengunjungi Bandar Lipis, In Syaa Allah

Read more »

share2